Social Icons

Pages

Sunday, July 19, 2009

Ringkasan Peristiwa Israk & Mikraj

Allah ta’ala berfirman dalam surah Al-Israk ayat 1 yang bermaksud: “Maha suci tuhan yang memperjalankan hambanya Muhammad pada malam hari dari masjidil haram ke masjid Al-Aqsor yang telah kami berkati disekelilingnya supaya kami perlihatkan kepadanya sebahagian ayat-ayat (tanda kekuasaan) kami.”

Mukjizat peristiwa Israk telah di teguhkan dengan kenyataan nas Al-Quran dan juga hadis yang soheh, maka menjadi suatu kewajipan atas umat islam mempercayai bahawa Allah telah mengisrakkan (memperjalankan) nabi kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam pada hanya dalam satu malam daripada mekah ke masjid Al-Aqsor, perkara ini sudahpun disepakati oleh golongan-golongan yang benar baik dari kalangan salaf mahupun khalaf, samaada dari kalangan ulama’ hadis , ulama’-ulama’ tauhid , ulama’-ulama’ tafsir atau ulama’-ulama’ feqh semuanya mengatakan pendirian bahawa israk nya nabi adalah dengan jasad dan ruh.

Antara keajaiban yang dilihat oleh nabi ketika israk adalah:

Dunia : Nabi melihat dunia dengan gambaran orang tua yang sangat berumur.
Iblis : Nabi melihat iblis yang cuba menghalang perjalanannya.
Kubur Mashitah binti Firaun: Nabi melihat dan menghidu bauan yang harum dari kuburnya.
Golongan yang berperang di jalan Allah: Nabi melihat mereka dengan gambaran sekumpulan golongan yang menanam pada hari ini dan menuai atau mengambil hasil tanamannya pada keesokan harinya.
Pembawa Fitnah: Nabi melihatnya dengan gambaran manusia yang menggunting lidah-lidah mereka dan bibir mereka dengan menggunakan gunting dari api neraka.
Orang yang bercakap dengan perkataan yang keji: Nabi melihatnya dengan gambaran lembu sapi yang keluar dari lubang yang sempit kemudia dia cuba memasukinya semula tetapi tidak berdaya.
Orang yang tidak menunaikan zakat: Nabi melihatnya dengan gambaran seorang manusia yang menjerit-jerit seperti binatang dengan pakaian mereka yang penuh dengan tampalan.
Orang yang meninggalkan solat: Nabi melihatnya dengan gambaran sekumpulan kaum yang memecah-mecahkan kepala mereka kemudian kembali seperti sedia asal. Berkata Jibril : Mereka itu adalah orang yang berat kepalanya untuk menunaikan solat.
Penzina: Nabi melihatnya dengan gambaran manusia yang berebut-rebut mendapatkan daging busuk sedang daging yang elok ditinggalkannya.
Peminum arak : Nabi melihat mereka dengan gambaran manusia yang sedang minum air nanah bercampur darah yang keluar dari seorang penzina.
Orang yang mengumpat: Nabi melihat mereka dengan gambaran sekumpulan manusia yang mencakar-cakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga.

Adapun Mikraj telah di teguhkan kebenarannya melalui hadis yang soheh, adapun dalam Al-Quran Mikraj tidak di naskan dengan nas yang jelas sebagaimana israk.


Antara keajaiban yang di lihat oleh nabi ketika Mikraj ialah:

Malaikat penjaga neraka: Malaikat ini langsung tidak menzahirkan senyuman ketika melihat rasulullah, lalu rasul menanyakan jibril tentang kenapa dia tidak senyum ketika melihatku sebagaimana para malaikat yang lain? Lalu jibril berkata: sesungguhnya malaikat ini tidak pernah senyum sejak dijadikan Allah, kalaulah dia boleh senyum pada seseorang niscaya dia akan senyum terhadap mu.
Baitul Makmur : satu rumah yang mulia di langit ketujuh sebagaimana rumah Allah iaitu ka’bah untuk penduduk bumi. Setiap hari Baitul makmur dikunjungi oleh 70,000 para malaikat yang mengerjakan solat padanya kemudian mereka keluar dan tidak kembali lagi.
Sidratul Muntaha: Dia adalah sepohon pokok yang besar yang kecantikannya itu tidak mampu disifatkan seorang pun dari makhluk Allah, Yang dipenuhi dengan rama-rama emas, iaitu di langit yang ke tujuh [umbinya yang berada di langit ke enam menjular sehingga ke langit ketujuh]
Syurga: Bertempat atas langit ketujuh, padanya sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga , dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia. Semua ini disediakan untuk mereka yang bertaqwa khasnya, dan untuk selain mereka ialah orang-orang yang Allah masukkan kedalam syurga.
Arasy: iaitu makhluk yang paling besar , ianya di kelilingi oleh malikat-malaikat yang bilangan nya hanya Allah yang maha mengetahui. Ianya mempunyai empat tiang sebagaimana tiang katil yang kini di pikul oleh empat malaikat yang bertubuh besar, dan pada hari akhirat kelak ianya akan di pikul oleh lapan malaikat.
Sampainya nabi ketempat yang teratas dan disana dia mendengar deseran Al-Qolam : Rasulullah bersendirian tanpa ditemani oleh malaikat jibril setelah merentasi sidratul Muntaha sehinggalah dia sampai ke tempat teratas, dia mendengar deseran al-qolam (pen) yang mencatit balik dengannya oleh malaikat pada suhufnya [kitab catitannya] daripada lauh mahfuz.
Nabi mendengar kalam Allah yang azali lagi abadi yang tidak menyerupai kalam manusia.
Nabi melihat zat Allah ta’ala dengan hatinya, tidak dengan matanya: Allah ta’ala memuliakan nabiNya ketika mikraj dengan mencabut dari hatinya hijab maknawi, maka dengan itu nabi dapat melihat Allah ta’ala dengan hatinya, yakni Allah ta’ala telah menjadikan baginya kekuatan melihat dengan matahati, tidak dengan mata kepala, kerana Allah ta’ala tidak boleh dilihat dengan mata yang fana’ di dunia ini . Rasulullah sendiri pernah bersabda yang maksudnya : ketahuilah olehmu bahawa kamu tidak akan dapat melihat zat Allah sehinggalah kamu maku mati.
Perlu di ingatkan disini bahawa kita tidak boleh membuat andaian bahawa Allah itu bertangan , berkaki atau sebagainya kerana Allah ta’ala tidak berjisim, tidak menyamai makhluknya sedikitpun, dan kita selaku umat islam dilarang daripada membuat andaian tentang zat Allah, kalaulah ianya dibenarkan maka nabi orang yang pertama menceritakannya kepada kita, tetapi tidak, bahkan nabi bersabda : “fikirkanlah tentang makhluk Allah dan jangan sesekali kamu fikirkan tentang zat Allah”
Tujuan Mikraj adalah untuk memuliakan Rasul yang agung dengan mempertontonkan kepada beliau keajaiban alam diatas, sekaligus memuliakan kedudukannya yang teratas. Adapun iktiqad sebahagian golongan sesat yang mengatakan bahawa rasul telah sampai ke suatu tempat yang merupakan markaz Allah maka ini adalah kesesatan yang nyata kerana mustahil Allah itu mengambil tempat bagi zatnya kerana itu adalah sifat manusia.

Monday, July 13, 2009

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ.. >>>>>> MENOLAK PEMBOHONGAN SERTA KEKELIRUAN BERKAITAN DENGANNYA

Segala pujian bagi Allah tuhan sekelian alam yang menciptakan bumi, langit, arasy, tempat, masa dan semua makhlukNya, wujudnya sebelum dari makhlukNya yang Dia bersifat azali lagi abadi dan wujudNya tanpa bertempat.Selawat dan Salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad, keluarga, para sahabat dan sekelian umat Islam

Sebagai umat islam yang sebenar, wajib beriman dengan perkara luar biasa atau ajaib, yang secara adatnya tidak diterima oleh akal, dimana ianya berlaku atau diberikan oleh Allah kepada para Rasul Alaihimus Salam yang diistilahkan sebagai mukjizat. Mukjizat tersebut diberikan oleh Allah kepada para rasul bagi membenarkan dakwaan mereka bahawa mereka merupakan utusan Allah yang sebenar kepada umat manusia.

Perkara luar biasa atau ajaib ini bukanlah cerita dongeng dahulu kala yang tidak berasas seperti yang dilemparkan oleh golongan Orientalis ataupun sebagaimana yang ditonjolkan dalam cerita-cerita kartun animasi. Perkara mukjizat ini merupakan perkara usul atau asas dalam islam yang mesti diimani mengikut disiplin ilmu islam. Inilah antara keyakinan atau Akidah yang membezakan antara umat islam dengan umat yang lain. Keimanan atau kepercayaan dalam ajaran islam bukan hanya beriman dengan perkara yang zahir, bahkan perlu kepada beriman dengan perkara yang ghaib. Seseorang itu masih tidak dianggap sebagai muslim jika tidak beriman dengan perkara ghaib seperti Syurga, Neraka, malaikat, dosa dan pahala.

Antara mukjizat agung yang diberikan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam ialah peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun ke-lima sebelum hijrah. Ianya melangkau jangkaan pemikiran manusia di mana Rasulullah diperjalankan (israk) oleh Allah dalam waktu yang singkat dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, seterusnya dibawa melihat keajaiban dan keanehan ciptaan Allah yang berada di alam yang tinggi (malakut al-a’la) iaitu di langit (mikraj) dalam masa sebahagian malam sahaja. Peristiwa ini berlaku pada diri Rasulullah untuk menunjukkan kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada baginda yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Bukanlah suatu perkara yang besar, susah atau aneh bagi Allah, tuhan semesta alam untuk melakukan sedemikian kerana Dialah tuhan yang telah menjadikan segala kewujudan ini dari tiada kepada ada.

Berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj ini, umat islam banyak mengambil berita-berita atau cerita-cerita yang tidak berasas atau tidak bersumberkan dari sumber yang sahih lagi boleh dipercayai. Berikutan dari itulah, banyak kisah yang diriwayatkan berkaitan Israk dan Mikraj ini adalah pembohongan semata-mata. Amat mendukacitakan kita sekiranya cerita atau kisah palsu berkaitan mukjizat yang agung ini dilontarkan dari mulut-mulut khatib di atas mimbar, penceramah-penceramah di masjid atau diajar dalam majlis-majlis ilmu turun temurun. Oleh yang demikian, di bawah ini dimuatkan sebahagian cerita-cerita palsu tersebut supaya kita dapat menghindari dan menjauhi dari percaya kepadanya.

Pertama: Sebahagian umat islam percaya bahawa Mikraj merupakan satu peristiwa yang menunjukkan bahawa Rasulullah sampai ke tempat di atas langit yang ke tujuh di mana di situlah Allah berada.

Kepercayaan atau iktikad yang mengatakan Allah berada di atas langit, tidak kiralah samada dimaksudkan langit secara umum atau dikhususkan kepada Kursi atau Arasy sebenarnya sesat lagi kufur di sisi ahli sunnah wal jamaah. Ini kerana kepercayaan sedemikian menisbahkan atau menyifatkan Allah berada pada sudut atau tempat. Sedangkan akidah dan kepercayaan umat islam yang sebenarnya ialah Allah jualah yang menciptakan segala-galanya yang ada, antaranya tempat dan arah atau sudut. Allah telah pun ada atau wujud sebelum itu lagi tanpa mempunyai arah, sudut mahupun tempat. Inilah yang dikatakan bahawa wujud Allah azali, bermaksud adanya Allah tidak dijadikan oleh sesiapapun kerana Dia adalah Tuhan. Tempat, arah dan lain-lain merupakan ciptaan Allah yang dinamakan sebagai makhluk dan makhluk tidak azali. Tidak azali bererti sebelum itu tidak ada kemudian dijadikan oleh Allah. Maka mustahil Allah perlu atau berhajat kepada makhluk ciptaanNya sendiri sedangkan sebelum itu Allah telahpun wujud tanpa ada tempat, arah dan lain-lain.

Imam al-Syafie Rahimahullah berkata seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Qusyairi: Ketahuilah oleh kamu semua bahawa Allah Azzawajalla tidak ada tempat bagiNya (iaitu tidak bertempat)”. Imam ahli sunnah iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asyari juga berkata sedemikian seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi: “Sesungguhnya Allah Taala tidak ada tempat baginya”. Imam Abu Mansur al-Baghdadi pula menyebutkan dalam kitab beliau al-Farqu Baina al-Firaq: “Dan mereka telah berijmak (iaitu ahli sunnah) bahawa Dia (iaitu Allah) tidak diliputi oleh tempat dan tidak beredar dengan peredaran masa”.

Inilah ijmak ahli sunnah yang menunjukkan bahawa Allah wujud tidak bertempat, sama ada di atas atau di bawah, kiri atau kanan, depan atau belakang kerana kesemua arah tersebut ciptaan Allah yang asalnya tidak ada langsung kemudian dijadikan oleh Allah. Begitu jugalah masa, tidak kira sebelum atau selepas, semalam, hari ini atau esok, pagi atau petang, siang atau malam. Barang sesiapa beriktikad berlainan dari apa yang disebutkan, maka mereka itulah yang digelar sebagai golongan Al-musyabbihah, iaitu golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk ciptaanNya sendiri. Golongan Al-musyabbihah tersebut dihukumkan sebagai kafir oleh ulama islam. Imam Abu Ja’far al-Thahawi berkata dalam Akidah al-Thahawiyyah:“Barang sesiapa menisbahkan bagi Allah sifat yang merupakan sifat makhluk, sesungguhnya dia kafir. Jelas bagi kita bahawa antara sifat bagi makhluk ialah wujud yang memerlukan tempat.

Walaupun demikian, amatlah mendukacitakan kita kerana ada sebilangan orang islam yang menyandarkan diri mereka sebagai tok guru atau ahli ilmu mengelirukan umat islam yang lain berkenaan peristiwa Mikraj ini dengan menyatakan bahawa Rasul telah sampai ke tempat yang merupakan markaz atau tempat Allah berada, Wal i’yazzubillah. Pandangan atau ucapan sebegini jelas hukumnya kufur kerana menyifatkan Allah sifat yang sama dengan makhluk. Ianya terbit dari pembacaan yang disandarkan kepada sebahagian kitab murahan yang mudah didapati di mana isi kandungannya tidak terkandung Akidah At-tanzih, iaitu akidah ahli sunnah yang menyucikan Allah dari sebarang persamaan dengan makhlukNya. Contoh kitab tersebut ialah Kitab al-Mikraj” yang dinisbahkan kepada Ibnu Abbas secara dusta. Perkara sebegini dan seumpamanya wajib diberi peringatan kepada umat islam.

Penjelasan sebenar berkenaan perkara ini ialah Rasulullah telah sampai ke tempat yang dikehendaki oleh Allah selepas sampai di Sidratul Muntaha, di mana di situlah baginda mendapat perintah Allah mengenai kefarduan solat. Begitu jugalah berkenaan Rasulullah berulang alik memohon dikurangkan waktu solat tersebut dari tempat Nabi Musa. Bukan bererti Nabi berulang alik dari tempat Nabi Musa ke tempat Allah berada,

bahkan berulang alik ke tempat asal yang baginda mendengar Kalamullah yang azali tanpa suara, huruf dan bahasa, Allah menciptakan kekuatan pada hati Rasulullah sehingga rasulullah faham akan ianya wahyu dari Allah mengenai kefarduan solat sehingga dikurangkan sehari semalam kepada lima waktu kerana Allah wujud tidak bertempat.

Kedua: Sebahagian orang islam mengatakan; “Peristiwa Mikraj berlaku dengan ruh sahaja, bukan beserta jasad”.

Pandangan di atas jelas bercanggah dengan apa yang tersebut melalui hadis-hadis yang sahih. Di dalam al-Quran terkandung satu ayat yang amat hampir kepada jelas berkaitan peristiwa Mikraj di mana ayat tersebut bermaksud:

“Demi sesungguhnya dia (Muhammad) telah melihatnya (Jibril) buat kali yang ke-dua, di Sidratul Muntaha. Di situlah terletaknya Jannah al-Makwa”, Surah al-Najmi: 13.

Ayat tersebut menjelaskan kepada kita bahawa Nabi Muhammad telah melihat Malaikat Jibril dalam bentuk rupa parasnya yang asal, yang mempunyai enam ratus sayap di malam Mikraj di langit yang ke-tujuh dalam keadaan sedar dengan ruh dan jasad.

Antara hadis yang menyebutkan berkenaan peristiwa Mikraj ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya bahawa Rasulullah telah berkata:

“Kemudian kami dibawa naik ke langit, maka dipohon pintu langit dibuka oleh Jibril, lalu ditanya: Siapakah kamu? (Jibril) berkata: (Aku) Jibril. Ditanya: Siapakah bersamamu? (Jibril) berkata: Muhammad”.

Melalui jawapan Jibril tersebut, Jibril tidakpun berkata: “bersamaku ruh Muhammad”!. Di akhir hadis itu Rasulullah menceritakan: Lalu aku turun kepada Musa. Ketika itu Nabi Musa berada di langit yang ke-enam. Rasul tidakpun berkata: Ruhku turun kepada Musa Alaihis Salam”.

Oleh itu, apakah asas yang digunakan oleh golongan ini bagi menegakkan pandangan mereka bahawa Rasulullah Mikraj dengan ruh sahaja?! Apakah mukjizatnya peristiwa Mikraj bagi Rasulullah jika berlaku dengan ruh sahaja?!

Ketiga: Sesetengah orang yang jahil mengatakan Rasul berdiri di atas seketul batu dan batu tersebut terapung bersama baginda ketika berlakunya peristiwa Mikraj. Batu tersebut pula sekarang ini berada di dalam Kubah Hijau (Qubbatu al-Sokhroh) di Palestin. Diceritakan bahawa batu tersebut terapung apabila Rasul berkata: “Tetaplah ditempatmu. Maka batu tersebut pada sangkaan mereka sehingga sekarang berada dalam keadaan terapung. Kisah ini sama sekali tidak benar kerana hakikatnya batu itu tidak terapung dan dapat dilihat di Kubah Hijau (Qubbatu al-Sokhroh).

Keempat: Sesetengah orang mengatakan Allah menjadikan Rasulullah dapat mendengar suara Abu Bakar di langit ketika Mikraj agar baginda merasa tenteram dari ketakutan. Perkara ini tidak berasas sama sekali.

Kelima: Sesetengah golongan mengatakan peristiwa Mikraj merupakan perjalanan dalam tidur ((rehlah manamiyyah)).

Pandangan ini batil yang merupakan permainan syaitan. Jika demikianlah, di manakah mukjizat bagi baginda seperti sangkaan mereka?!

Keenam: Tersebut dalam kitab yang dinamakan Mikraj Ibnu Abbas” yang disandar secara dusta kepada beliau, ada malaikat yang sebahagian dirinya terdiri dari api dan sebahagian lagi dari salji.

Api tidak mencairkan salji dan salji tidak pula memadamkan api, dia mempunyai seribu kepala, bagi setiap kepala sejuta wajah, bagi setiap wajah sejuta lidah yang sentiasa bertasbih kepada Allah dengan sejuta bahasa. Cerita ini karut kesemuanya.

Untuk makluman bersama, kitab yang dinisbahkan kepada Ibnu Abbas ((Mikraj Ibnu Abbas)) adalah tidak benar sama sekali dan penuh dengan akidah-akidah serta cerita-cerita yang kufur. Antara yang jelas menyalahi akidah ahli sunnah ialah cerita bahawa Nabi menghampiri Tuhan sehingga hampir sangat seperti lengkungan panah bahkan lebih hampir dari itu. Cerita tersebut menisbahkan Allah mempunyai jarak seperti makhlukNya. Kandungannya juga menisbahkan anggota badan kepada Allah seperti: “ Maka Allah Subhanahu Wa Taala meletakkan tanganNya diantara dua bahuku, maka aku merasa sejuk jari jemarinya”. Kata-kata ini menisbahkan anggota badan seperti manusia yang jelas kufur seperti yang diijmakkan oleh ulama ahli sunnah.

Ketujuh: Apa yang diriwayatkan dari Saiyidah Aisyah Radiyallahu Anha bahawa beliau berkata: “Tidaklah hilang jasad Rasulullah, tetapi (baginda) diisrakkan dengan ruhnya”.

Hadis tersebut tidak sabit. Al-Qadhi ‘Iyad dalam kitab beliau “al-Syifa” mendaifkan matan dan sanadnya, al-Hafiz Ibnu Dahyah pula mengatakannya sebagai hadis palsu. Perkara yang jelas bahawa ianya tidak sabit dari Aisyah ialah Rasulullah belum lagi bersama beliau sebagai suami isteri melainkan selepas hijrah. Apatah lagi baginda belum lagi bertunang dengan beliau semasa peristiwa Israk berlaku.

Demikian jugalah yang dikatakan bahawa Rasulullah bersabda: Jibril mendatangiku dengan safarjalah dari Syurga, lalu aku memakannya pada malam aku akan diisrakkan, maka lahirlah Fatimah dari Khadijah. Maka apabila aku berasa rindu terhadap bauan Syurga, aku menghidunya di tengkuk Fatimah”. Al-Zahabi berkata bahawa ianya hadis yang jelas palsu yang dilakukan oleh Muslim Bin Isa al-Saffar. Ini kerana Fatimah telahpun dilahirkan sebelum Nabi diangkat menjadi rasul, lebih-lebih lagi peristiwa Israk berlaku pada tahun ke-lima sebelum hijrah.

Kelapan: Antara perkara batil yang tidak benar ialah apa yang diriwayatkan, apabila Rasulullah dan Jibril melebihi Sidratul Muntaha, Jibril berkata: Disinilah berpisah kekasih dengan kekasihnya, sekiranya aku kedepan lagi sudah pasti aku terbakar”.

Bersyukurlah kita kepada Allah kerana dengan limpah rahmatnya kita menjadi umat yang terbaik berbanding umat-umat yang lain. Ianya tidaklah wujud begitu sahaja semata-mata kerana kita berada atau tergolong dalam umat Nabi Muhammad, tetapi kerana sifat percaya atau beriman dengan Allah dengan kepercayaan yang sahih, seterusnya melakukan serta menyuruh kepada kebaikan dan menghindari serta mencegah dari perkara yang keji lagi tercela di dalam agama,serta kita menjadi insan yang beriman, berilmu dan beramal Mudah-mudahan perkara palsu yang berlaku atau digembar gemburkan berkaitan peristiwa bersejarah ini dapat kita hapuskan dengan rasa tanggung jawab sebagai individu muslim yang cintakan agamanya.

Sunday, July 12, 2009

Tanggapan Salah Mengenai Nisfu Sya'ban

Malam Nisfu Sya’ban

Bulan sya’ban bakal menjelma dan akan disusuli pula dengan bulan Ramadhon yang mulia. Maka amat beruntunglah mereka yang memperbanyakkan amal ibadah, beruntunglah mereka yang bertaqwa kepada Allah dan menyahut kedatangan hari akhirat dengan semangat yang tinggi. Setiap amalan yang dikerjakan hamba dengan niat yang tulus ikhlas kerana Allah maka baginya atas setiap amalan kebaikan yang dilakukan mendapat sepuluh pahala, ini adalah sekurang-kurang pahala yang bakal dia perolehi, kemudian Allah ta’ala akan gandakan pahala kepada siapa yang dia kehendaki sehingga 700 kali ganda dan kemungkinan ditambah lagi dengan berlipat kali ganda, kadang-kadang ditulis satu amalan kebaikan dengan seratus ribu dan kadang-kadang lebih dari itu lagi. Allah ta’ala berfirman dlm Surah Al-Qosos ayat 77 yang maksudnya: “dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari kenikmatan duniawi”. Iaitu jangan kamu lupakan bahagianmu di akhirat dari kehidupan dunia. Siapa-siapa yang membuat bekalan untuk akhiratnya di dunia ini maka dia orang yang memiliki bekalan dan siapa yang tidak menyediakan bekalan maka dia orang tidak ada bekalan di akhirat. Allah Taala berfirman maksudnya “akhirat itu yang lebih baik lagi kekal” ( Sural Al-A’la:17 ). Iaitu syurga adalah tempat yang paling afdal dan kekal daripada kehidupan dunia. Maka sambutlah malam Nisfu Sya’ban dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Malam Nisfu Sya’ban adalah malam penuh keberkatan. Kebanyakan manusia pada malam itu mengerjakan sembahyang malam,berpuasa pada siangnya dan bertakwa kepada Allah Taala.

Hendaklah seseorang itu pada malam tersebut sebagaimana malam-malam yang lain juga mengingati bahawa kematian tetap mendatanginya dan tidak dapat dielakkan lagi. Lihatlah betapa agungnya kalimah yang dilontarkan oleh malaikat rahmah kepada orang-orang yang bertaqwa ketika menghadapi sakaratulmaut. Dia mengatakan kepada orang-orang yang bertakwa: “ Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat. Didalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh pula dimalamnya apa yang kamu minta” ( Surah Fussilat:31 ).

Di sini dijelaskan bahawa malam Nisfu Sya’ban bukanlah malam yang dimaksudkan dalam firman Allah : فيها يفرق كل أمر حكيم maksudnya: “ Pada malam itu dijelaskan segala urusan penuh hikmah” (Surah Al-Dukhan:4). Walaupun sudah tersebar dikalangan orang awam bahawa malam tersebut malam Nisfu Sya’bab tetapi ianya tidak benar. Yang sebenarnya malam itu adalah malam Lailatul Qadar. Maksud ayat tadi ialah: Allah Taala memperlihatkan kepada para malaikat pada malam Lailatul Qadar perincian apa yang bakal berlaku pada sepanjang tahun tersebut sehingga tahun yang akan datang iaitu perkara berkaitan kematian, kehidupan, kelahiran, rezeki dan seumpamanya lagi.

[Doa yang menyalahi aqidah]

Perkara yang perlu diambil perhatian iaitu tentang doa yang sebahagian manusiabiasa bacakannya pada malam Nisfu Sya’ban iaitu:

اللهم إن كنت كتبتني عندك في أم الكتاب محروما أو مطرودا أو مقترا عليّ في الرزقي فامح اللهم بفضلك شقاوتي وحرماني وطردي وإقتار رزقي

Erti doa tersebut adalah “Ya Allah jika Engkau tuliskan tentangku disisi Mu pada Ummul Kitab (Lauhul Mahfuz) perkara yang dilarang dan atau perkara yang salah atau kesempitan rezeki kepada ku maka dengan kelebihanmu Ya Allah…!! Engkau padamkanlah kecelakaan itu semua”.

Doa ini tidak teguh pengriwayatannya dan tidak harus kita beriktikad bahawa Allah Taala itu mengubah ketentuannya. Siapa yang beriktikad bahawa Allah Taala mengubah ketentuannya dengan doa si pendoa maka akan rosaklah akidahnya. Sesungguhnya ketentuan Allah Taala itu azali lagi kekal abadi, tidak akan menimpa ke atasnya perubahan dan pemindahan sebagaimana sifat-sifatnya juga. Maka tidak akan berubah kehendak Allah Taala dengan doa si pendoa atau sedekah orang yang bersedekah atau nazar orang yang bernazar.

Adapun firman Allah Taala yang bermaksud "Allah menghapuskan apa yang dia kehendaki dan menetapakan apa yang dia kehendaki, dan disisinya lah terdapata Ummul Kitab( Lauhul Mahfuz )". Maka maknanya Allah Taala menghapuskan apa yang dia kehendaki daripada Al-Quran dan mengangkat hukumnya dan menasakhkannya
( menggugurkannya) -[sudah maklum bahawa nasakh itu berlaku melalui wahyu tuhan kepada nabinya] , dan dia menetapkan apa yang dia kehendaki tanpa menasakhkannnya. Bukanlah yang dikehendaki dengan ayat tersebut bahawa Allah Taala mengubah ketentuannya dengan sebab doa, sedekah, nazar dan lain-lain. Benarlah kata-kata orang yang mengatakan: سبحان الذي يغير ولا يتغير maknanya “maha suci zat yang mengubah dan tidak berubah”.

Kalaulah Allah mengubah ketentuannya dengan doa si pendoa maka dia akan mengubah untuk Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, telah datang dalam hadis bahawa Nabi Muhammad telah bersabda yang maksudnya: “Aku memohon kepada Tuhanku empat perkara maka diperkenankan tiga darinya dan satu lagi tidak diperkenankan. Aku memohon agar umatku tidak dikafirkan secara keseluruhan maka diperkenankannya dan aku memohon agar tidak dihancurkan mereka dengan cara hancurnya umat terdahulu maka diperkenankannya dan aku memohon agar tidak tercetus ke atas mereka permusuhan dari selain mereka lalu menguasai mereka maka diperkenankannya. Dan aku memohon agar tidak berlaku permusuhan di antara sesama mereka maka tidak diperkenankannya. Dalam riwayat lain:
“ Allah Taala mengatakan kepadanya wahai Muhammad sesungguhnya apabila aku telah menetapkan satu ketetapan maka ianya tidak boleh ditarik balik”.

Dari sini perlulah diambil perhatian, siapa yang hendak berdoa perlu ada ilmu, hendak berzikir mesti ada ilmu, hendak sembahyang fardhu mahupun sunat mesti ada ilmu, hendak berpuasa mesti ada ilmu. Menjadi satu kewajipan kita memiliki ilmu agama kerana ilmu agama itu adalah kehidupan islam.
>

Komen Terkini

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog
 

Posts & Comments

get this

Trafik

 
Blogger Templates