Social Icons

Pages

Wednesday, October 28, 2009

FADILAT HAJI DAN DORONGAN MEMPELAJARINYA

Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan Ibadat Haji Dengan mengunjungi Baitullah Iaitu sesiapa Yang mampu sampai kepadaNya. dan sesiapa Yang kufur (ingkarkan kewajipan Ibadat Haji itu), maka Sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. (Surah Ali Imran:97)

Dan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Ya Allah ampunkanlah dosa orang yang melakukan haji dan dosa orang yang diminta pengampunan untuknya oleh orang yang melakukan haji.

Mulalah jemaah haji bersiap sedia untuk musafir, betapa besarnya pengorbanan musafir ini terpaksa berkorban meninggalkan segala yang dikasihinya, meninggalkan anak, tanah air, ahli keluarga tapi ke mana?!. Mereka pergi bermusafir ke negeri nabi yang dikasihinya, Demi Allah perjalanan ini lebih mahal dari segala apa yang dicintai kerana pemergiannya adalah menuju ke negeri kelahiran nabi kita Muhammad, mereka bermusafir ke Mekah dan Madinah kemudian ke Mina, Arafah dan Muzdalifah pada hari-hari itu kebanyakan perasaan mereka memberontak akibat rindu dan asyik. Mereka datang dari arah dan segenap pelusuk semata-mata dengan niat ke tanah suci. Tempat hidayah, petunjuk, tempat turunnya di mana wahyu ke atas nabi kita sambil bertahlil, bertakbir melaungkan kalimah Labbaikallahumma labbaik…… dengan penuh khusyuk. Diceritakan ada seorang perempuan masuk ke Mekah dan mula bertanya-tanya di manakan rumah Allah maka dikatakan kepadanya sekarang engkau akan melihatnya, apabila diperlihatkan kepadanya rumah itu maka mereka berkata kepadanya inilah rumah Allah lalu perempuan tadi bergegas kearah kaabah dan terus melabuhkan dahinya ke dinding kaabah dan apabila diangkat dahinya dilihat dia sudah tidak bernyawa lagi. Betapa indahnya saat-saat itu wahai saudaraku ketika mata terpaut kearah kaabah. Terdapat dalah hadis disunatkan kita berdoa ketika melihat kaabah.

Haji merupakan suatu perkara penting dalam Islam seperti juga solat, berpuasa dan zakat. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud “ Umrah kepada umrah yang lain adalah pengampunan antara keduanya dan haji yang mabrur tiada balasan kecuali syurga”. Allah Taala menjadikan haji yang mabrur keistimewaan yang tidak terdapat dalam sembahyang, tiada dalam zakat iaitu pengampunan dosa-dosa besar dan kecil seperti sabda nabi yang bererti siapa yang melakukan haji dan tidak mengurangkan rukun dan syaratnya dan tidak merosakkannya maka akan terlepas dari dosa-dosanya seperti hari ibu melahirkannya.

Beruntunglah mereka yang menunaikan haji sedang hajinya mabrur, dengan itu rebutlah peluang wahai saudaraku jika kamu bermaksud menunaikan haji tahun ini untuk menghadiri majlis ilmu untuk mempelajari hukum-hakam haji. Majlis ilmu yang memberi tunjuk ajar kepada kamu dengan cara yang betul. Sehinggalah haji yang kamu lakukan itu betul dan diterima oleh Allah Taala. Inilah asas: Ilmu sebelum beramal. Kebanyakan manusia hanya berebut-rebut untuk membawa bekalan pakaian, berebut-rebut menempah bilik yang selesa dan pengankutan yang selesa juga makanan yang lazat dan lain-lain. Dan tidak didapati pada mereka berebut untuk mempelajari hukum-hakam haji. Benarlah sabda nabi yang menjelaskan kepada kita bahawa sebahagian ibadah tidak diterima dari si pelakunya walaupun dia berpenat lelah melakukannya iaitu hadis yang bermaksud “ Ramai orang yang berqiamullai tetapi dia tidak dapat apa-apa kecuali kepenatan dan berjaga malam, ramai orang yang berpuasa dia tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Allah Taala berfirman yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu membawa bekal Dengan cukupnya kerana Sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu Wahai orang-orang Yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).Surah Al-Baqarah:197

Sebelum musafir kita hendaklah membawa bekalan ilmu pengetahuan sebelum bekalan yang lain semoga ibadah yang kita lakukan diterima oleh Allah Taala.

Tuesday, October 27, 2009

IBADAH HAJI

NASIHAT DAN HIKMAH
Allah ta’ala berfirman yang maksudnya: Dan ingatkanlah peristiwa ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya: "Janganlah Engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah Rumahku yakni Kaabah ini bagi orang-orang Yang tawaf, dan orang-orang Yang berdiri dan Yang rukuk serta Yang sujud yakni mengerjakan sembahyang.
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhan mu (Baitullah) dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta Yang kurus Yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau Yang jauh.
"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara Yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari Yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka Dengan binatang-binatang ternak untuk dijadikan korban; Dengan Yang demikian makanlah kamu dari daging binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang Yang susah, Yang fakir miskin. [surah Al-Hajj : 26/27/28 ]

Sesungguhnya Allah telah memenuhi permintaan nabi Allah Ibrahim alaihissalam dan menjadikan ka’bah sebagai tempat distinasi jutaan ummat islam yang mengujunginya
setiap tahun dari segenap pelusuk dunia , dari timur mahupun barat, dengan berlainan bangsa, bahasa dan warna kulit, tiada yang membezakan samaada kaya mahupun miskin, besar mahupun kecil, arab mahupun ajam kecuali taqwa. Firman Allah ta’ala yang bermaksud:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, [bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya]. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu. [surah al-hujurat:13]

Amalan haji serta pensyariatannya mempunyai faedah dan hikmah yang begitu besar serta memiliki keistimewaan yang agung, “kalaulah kebanyakan manusia itu tahu akan keistimewaannya nescaya mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya. Haji merupakan muktamar tahunan yang besar, menghimpunkan padanya jutaan umat islam dibawah satu kalimah “tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah”. Disana mereka bermunajat kepada Allah disamping bernenal-kenalan dan bersatu hati antara mereka, dari situ kita akan dapati betapa besar dan agungnya persaudaraan sesama islam. Semua para haji ketika itu memakai pakaian ihram sambil melaungkan “ Labbaikallahumma labbaik,Labbaika la syarika laka labbaik,Innalhamda wannikmata laka walmulk la syarikalah!!!”
Ketika itu mereka masing-masing mengasingkan diri mereka daripada keseronokan kehidupan dunia yang bakal musnah, kecil, besar, kaya, miskin sama sahaja tiada yang lebih kecuali dengan takwa. Sebagaimana sabda nabi : “tiada kelebihan orang Arab berbanding A’jam (bukan Arab) dan tiada kelebihan A’jam berbanding orang Arab kecuali takwa. Haji merupakan latihan fizikal bagi manusia bagi melatih kesabaran, menanggung kesengsaraan dan kepayahan untuk berdepan dengan masalah-masalah hidup dan untuk mendapat darjat yang tinggi serta kemenangan menduduki syurga Allah yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.

Ibadah haji yang dikerjakan oleh para jemaah mempunyai hikmah dan tauladan yang besar, para haji ketika melaungkan talbiah dengan suara yang lantang dapat mengingatkan kita dengan hari kiamat ketika Israfil meniupkan sangkakalanya maka ketika itu kubur merekah dan keluar daripadanya manusia secara beramai-ramai. Firman Allah Taala yang bermaksud . pada hari itu manusia akan keluar berselerak dari kubur masing-masing untuk diperlihatkan kepada mereka balasan amal-amal mereka.Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya dalam surat amalnya!.Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya dalam surat amalnya!

Ketika jemaah haji mengerjakan sa’ie antara sofa dan marwah, ia dapat mengingatkan tentang mekah al-mukarramah yang menjadi tempat turunnya wahyu dengan suasananya yang aman tenteram. Ia juga mengingatkan kita akan kesabaran nabi dan para sahabatnya dalam menyebarkan dakwah islam. Sa’ie merupakan tanta isyarat untuk menghidupkan kembali kesan sejarah lampau, kerana pada tempat itulah Hajar iaitu ibu kepada nabi ismail yang sanggup memikul bebanan walaupun dia ditinggalkan suaminya iaitu nabi Ibrahim semata-mata ingin menurut perintah Allah, dia ditinggalkan di tempat yang tiada air , walaupun begitu dia terus menerus bermundar mandir dari sofa ke marwah demi mencari air untuk diri dan anaknya dengan bekalan taqwa yang tinggi akhirnya memberi jalan keluar kepada mereka maka terpancarlah air zamzam, Firman Allah yang bermaksud: Dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar dari Segala perkara Yang menyusahkannya, dan Allah akan memberi rezki kepadanya dari jalan yang tidak dia sangkakan. [surah at-tholak:2,3]
.
Adapun wukuf di arafah terdapat pengajaran yang boleh diambil, para haji apabila melihat ribuan manusia di atas Bukit Arafah mengingatkan mereka hari kiamat, apa yang berlaku ketika berada di padang Mahsyar. Para haji akan melihat manusia bersesak-sesak dengan dasyatnya atas Bukit Arafah dan mendengar suara doa mereka bermunajat kepada Allah dalam keadaan tunduk, khusuk mengharapkan rahmatnya serta takut akan azabnya. Mereka berdoa dengan bahasa yang berbagai, warna kulit yang berbeza. Semua ini mengingatkan mereka tentang hari kiamat.

Adapun melempar jamrah ianya merupakan suatu ibadah dan membuktikan kepatuhannya kepada Allah Taala. Ketika melempar jamrah para haji dapat mengingati kembali bagaimana syaitan muncul di hadapan nabi Ibrahim dan padanya juga memberi isyarat penentangan mereka terhadap syaitan seolah-olah orang yang melontar itu berkata kepada dirinya bagi syaitan “ kalaulah kamu wahai syaitan muncul di hadapan kami sebagaimana kamu muncul di hadapan nabi Ibrahim nescaya kami akan melempar kamu dan menghina kamu” dan bukanlah tempat itu rumahnya syaitan.

Adapun tawaf antara hikmahnya adalah bahawa tawaf dikeliling kaabah menjadi suatu simbol daripada simbol-simbol pengabdian kepada Allah semata-mata dan menyahut perintahnya kerana Allah lah yang memerintahkan kita tawaf mengelilingi kaabah sebagaimana Dia yang memerintahkan kita menghadap ke kiblat yakni kaabah ketika sembahyang. Jadi hikmah tawaf ialah mengzahirkan penetapan hamba dalam mentaati Allah seolah-olah orang yang melakukan tawaf berkata walau sebanyak manapun kami pusing dan walau dimana kami berada kami tetap dalam mentaati Allah.

Mudah-mudahan segala amalan baik yang kita kerjakan diterima oleh Allah.

>

Komen Terkini

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog
 

Posts & Comments

get this

Trafik

 
Blogger Templates