Thursday, May 27, 2010
MARTABAT IMAN DAN ISLAM
Telah diriwayatkan di dalam hadis soheh bukhari dan muslim bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud : “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku ini adalah pesuruh Allah, apabila mereka telah mengatakan demikian itu maka akan terpeliharalah darah-darah mereka dan harta benda mereka dariku kecuali ianya menjadi hak Islam”. Hadis ini merupakan hadis yang teramat soheh, ianya telah diriwayatkan oleh sebilangan besar sahabat seterusnya kepada tabi’iin.. padanya tedapat dalil bahawa dengan hanya menyaksikan bahawa ‘tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah’ adalah kadar yang mencukupi untuk jadikan seorang itu Islam dan beriman kepada Allah kerana apabila disertakannya dengan kepercayaan dalam hati, itulah dia Iman dan Islam. Akan tetapi, jika dengan hanya percaya dalam hati tanpa diucapkan dua kalimah syahadah, maka ianya tidak memadai bagi mereka yang tidak lahir dalam kalangan ibu bapa yang Islam. Untuk masuk Islam, dia hendaklah menuturkan dua kalimah syahadah barulah dia dihukumkan Islam. Adapun, mereka yang dilahirkan dalam kalangan ibu bapa yang Islam, maka memadai untuk sah Iman dan Islamnya dengan berpegang pada kandungan makna dua syahadah walaupun tidak dituturkan dua syahadah tadi. Tetapi, dia dihukumkan berdosa kerana tidak melafazkannya.
Siapa yang berpegang dengan makna dua kalimah syahadah dalam hatinya, kemudian dia tidak ambil tahu tentang asas-asas Iman dan Islam dan tidak ambil tahu tentang amalan yang wajib dirinya lakukan seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, dalam masa yang sama dia tidak pernah mengingkarinya. Fikirannya kosong, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk ambil tahu, untuk mengingkari atau ragu-ragu tentang asas-asas tersebut. Maka orang seperti itu masih dihukumkan Islam.
Bukanlah syarat sah Iman dan Islam mesti ambil tahu tentang perkara berkaitan Rukun Islam dan Iman kerana kebanyakan rukun-rukun itu terdapat dalam satu hadis Jibril yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab iaitu penyaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji bagi mereka yang mampu pergi ke sana. Adapun rukun Iman iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada para malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat serta qada’ dan qadar. Pengetahuan tentang ini bukanlah menjadi syarat untuk sahnya Islam dan Iman seseorang. Akan tetapi, syarat sah Islam dan Iman seseorang itu adalah dengan hanya berpegang dengan makna dua kalimah syahadah disamping itu dia tidak ber’iktiqad dengan ‘aqidah yang bertentangan dengannya.
Kemudian, sesiapa yang berpegang dengan makna dua kalimah syahadah semata-mata, tidaklah menjadikan Islam dan Imannya sempurna kecuali setelah digabungkan dengan pengetahuan tentang rukun-rukun Islam dan Iman serta dia menunaikan kewajipan dan menjauhi segala yang dilarang.
Sebahagian manusia menyangkakan bahawa tidak sah islam seseorang kecuali telah menghimpunkan rukun Islam yang lima. Mereka menyangkakan apabila dikatakan rukun Islam, kalimah rukun itu tidak ubah maknanya seperti perkataan ulama’ tentang ‘rukun solat’ adalah begini-begini.., rukun puasa adalah begini-begini.. kerana makna ‘rukun solat’ adalah perkara-perkara yang tidak sah kecuali dengan terhimpunnya segala rukun itu. Bukanlah ungkapan ‘rukun’ pada rukun Iman dan Islam seperti ungkapan ‘rukun’ pada rukun solat.., tidak boleh mereka berprasangka bahawa Iman dan Islam tidak dikira kecuali setelah terhimpun rukun-rukun tersebut. Sebagaimana tidak dikira solat itu kecuali setelah terhimpun segala rukun-rukunnya. Ini adalah fahaman yang salah!!. Tidak boleh kita bandingkan rukun Iman dan Islam dengan rukun solat dan puasa!!.
Kemudian Iman dan Islam mempunyai dua martabat iaitu martabat yang tinggi dan martabat yang rendah. Martabat yang tinggi tidak akan terhasil kecuali dengan berpegang makna dua kalimah syahadah dan menunaikan segala yang diwajibkan Allah ke atas hambaNya daripada amalan hati dan amalan yang dikerjakan dengan anggota badan dan dengan menjauhi segala yang diharamkan Allah. Adapun martabat rendah iaitu dengan berpegang makna dua kalimah syahadah sahaja.
Antara martabat-martabat ini sangatlah berbeza kerana martabat yang rendah itu hanyalah menjamin tuannya untuk menjauhi kekufuran dan selamat daripada kekal di dalam neraka dan seterusnya memasuki syurga samada setelah diazab atas kesalahan dosa yang dilakukan atau dimasukkan ke dalam syurga tanpa diazab terlebih dahulu.
Apabila seseorang itu telah masuk syurga, dia akan memperolehi empat perkara iaitu kehidupan yang tidak akan mati selepasnya, muda yang tidak akan tua selepasnya, kemewahan yang tidak putus, kesihatan yang tidak sakit selepasnya. Empat perkara ini merupakan ganjaran dari Allah ke atas setiap muslim yang memasuki syurga.
Adapun orang yang berada di martabat tinggi, mereka itu ketika meninggal dunia, akan disambut oleh malaikat maut iaitu Izrail Kemudian apabila telah dikebumikan tidak akan terjadi kepadanya kesulitan atau kepayahan dan dia tidak akan diancam oleh binatang berbisa yang ada di bumi dan dia tidak akan berada dalam ketakutan, tidak risau dengan kegelapan kubur, tidak rasa tersempit kerana Allah taala meluaskan kuburnya sejauh 70 hasta lebar dan dalam dan sebahagian mereka Allah luaskan kuburnya sejauh mata memandang. Adapun kegelapan kubur cukup dengan hanya Allah menyinarkan kuburnya dengan cahaya seperti cahaya bulan purnama. Kemudian, Allah anugerahkan bagi mereka yang berada di martabat tinggi kenikmatan yang tidak pernah dilihat oleh manusia waimma malaikat . Allah taala sembunyikan daripada pandangan mata sehinggakan malaikat penjaga syurga sendiri tidak pernah melihatnya. Nikmat-nikmat ini Allah taala khaskan untuk para solihin.
Wednesday, June 24, 2009
bacaan yaasin & tahlil untuk simati hukumnya harus
Sunday, June 21, 2009
Kesalahan Dalam Doa
Mendoakan untuk semua orang mukmin dan mukminat bagi mengampunkan segala dosa-dosa mereka adalah sesuatu yang menyalahi syarak.
Ibnu Abdissalam menegaskan dalam kitab al-amali dan juga Imam Al-Ghazali bahawa adalah haram hukumnya mendoakan untuk keseluruhan umat islam [muslimin dan muslimat] bagi mengampunkan segala dosa-dosa mereka atau mendoakan agar mereka semua tidak dimasukkan kedalam api neraka. Ini kerana secara tidak langsung ianya bertentangan dengan pengkhabaran Allah dan pengkhabaran rasulnya yang memberitahu kita bahawa mesti ada dari kalangan mereka yang akan dimasukkan kedalam api neraka.
Adapun doa mintak mengampunan dengan tanpa mengkaitkan pada doa tersebut pengampunan dari segala dosa adalah dibenarkan dalam islam sepertimana doa yang terdapat dalam surah nuh ayat28 yang bermaksud : “wahai tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibubapaku dan bagi orang mukmin yang masuk rumahku dan bagi orang mukmin dan mukminat. Doa seperti didalam ayat ini tidak memberi maksud minta pengampunan secara menyeluruh. Perkara itu juga dinyatakan oleh Imam al-ramli dalam kitab Syarhul Muhazzab dan Ibnu Abidin Al-hanafi pada hasyiahnya.
Jadi bukanlah makna ayat tadi mintak pengampunan untuk semua orang islam bagi mengampunkan segala dosanya .
Doa yang dicegah itu adalah bertentangan dengan nas-nas Al-Quran, dan hukum melawan Al-Quran itu membawa kepada kekufuran sebagaimana yang di jelaskan oleh Al-Nasafi dalam kitab aqidahnya yang masyhur.
Imam Abu Jaa’far Al-Thohawi mengatakan: “merasa aman dan putus asa itu boleh terkeluar daripada Agama Islam” ini adalah aqidah murji’ah , mereka ini terkeluar dari aqidah islam kerana fahaman mereka mengatakan “Tidak memberi mudhorat bagi orang islam dosa yang mereka lakukan sepertimana tidak memberi manfaat bagi orng kafir kebajikan yang mereka lakukan.
· [Merasa aman: iaitu merasakan yang dirinya tidak akan sama sekali diazab oleh Allah Taala walaupun dia melakukan dosa]
· [Putus asa: iaitu merasakan yang dirinya tidak akan sama sekali di ampunkan oleh Allah taala]
Tuesday, May 19, 2009
Aqidah para ulama'
Ketahuilah akidah para ulama diantaranya adalah pegangan bahawa Allah ta’ala wujud tidak boleh ada keraguan pada kewujudanNya, Dia tidak menyerupai sesuatupun dari makhlukNya bermakna Dia tidak menyerupai manusia, malaikat, jin, tumbuh-tumbuhan dan makhluk-mahluk yang lain, Dia tidak serupa dengan jisim kasif (jisim yang mampu dipegang oleh tangan) mahupun jisim latif (jisim yang tidak mampu dipegang oleh tangan).
Ketahuilah juga bahawa mihwar I’tiqad ( lingkungan akidah) seorang muslim itu adalah menepati lagi di kuatkan oleh akal yang sempurna dan bukanlah dengan wahm ( tanggapan semata-mata) kerana tanggapan semata-mata membayangkan sesuatu yang pada hakikatnya tidak pernah berlaku contohnya ketika seseorang melihat laut ketika matahari terbenam wahm-nya akan mengatakan padanya bahawa langit itu tercantum dengan laut dan matahari itu turun menuju ke dasar laut, akan tetapi sebenarnya bukanlah sedemikian. Ini bermakna kita perlu merujuk kepada akal yang sempurna bukan berpegang dengan tanggapan semata-mata.
Allah tidak boleh dibayangkan zatNya dan jawapan terhadap golongan yang membayangkan zat Tuhan
Jika kita ditanya : bagaimana kita menyembah sesuatu yang tidak boleh dibayangkan ?
Kita katakan padanya: Diantara makhluk ciptaan Allah kita tidak mampu membanyangkannya iaitu waktu ketika sebelum diciptakan cahaya dan belum lagi dicipta kegelapan, adakah mampu kita membayangkan satu ketika dahulu tiada cahaya dan tiada kegelapan? sudah pasti kita tidak mampu, akan tetapi wajib kita beriman bahawa pernah satu ketika dahulu tidak wujudnya cahaya dan kegelapan kerana Allah telah berfirman :
" ألحمد لله الذي خلق السماوات والأرض وجعل الظلمات و النور"
Yang bermaksud :
“ Segala puji bagi Allah Yang telah menciptakan langit dan bumi, dan dialah yang mengadakan gelap dan terang ”. Al-An’am, ayat 1.
Jika difikirkan akal kita tidak mampu untuk membayangkan satu ketika dahulu tiada cahaya dan tiada kegelapan, ini baru makhluk akal kita dah tak boleh fikir… Apatah lagi zat Allah!! , lebih lagilah akal kita tidak mampu untuk membayangkanNya.
Allah ta’ala telah menyifatkan diriNya:
" ليس كمثله شيء "
Yang bermaksud :
“ Tiada sesuatupun yang serupa dengan Dia ”. As-Shura, ayat 11.
Monday, May 18, 2009
Hapuskan Hizbu Tahrir di Malaysia ini!!!
Sebagai selaku umat islam yang prihatin perihal agamanya , maka disebutkan disini penjelasan ringkas dan memadai bagi kaum muslimin tentang suatu kelompok yang telah menyelewengkan ajaran islam dan menyebar kebatilan-kebatilan yang dikenali dengan kelompok hizbut tahrir,
Asal golongan ini diasaskan oleh seorang bernama taqiyyuddin an-nabhani. Dia mengaku dirinya sebagai ijtihad dan berbicara tentang agama dengan kebodohannya, mendustakan al-Quran , hadist dan ijma’ baik pada masaalah usuluddin mahupun masaalah furuk.
Antara kesesatan-kesesatan nya yang ditolak oleh para alim ulama’ adalah seperti kenyataannya yang menyalahi akidah sama sekali, mereka menjadikan Allah tunduk dan kalah kerana pada fahaman mereka terjadinya sesuatu diluar kehendak Allah . hal ini seperti yang dikatakan oleh pimpinan mereka taqiyyuddin an-nabhani sebagaimana berikut:
“Segala perbuatan manusia tidak terkait dengan Qadha Allah, kerana perbuatan tersebut ia lakukan atas inisiatif manusia itu sendiri dan dari ikhtiarnya, maka semua perbuatan yang mengandungi unsur kesengajaan dan kehendak manusia tidak masuk dalam Qadha”
Kenyataan mereka ini jelas sesat kerana mereka bukan sahaja menyandarkan kejahilan kepada Allah bahkan mereka mensekutukan Allah dengan manusia pada sifat pencipta.
Fahaman mereka ini langsung tidak boleh diterima akal kerana akal yang sejahtera akan mengatakan kalaulah manusia yang menjadikan perbuatan mereka niscaya apa yang manusia ciptakan adalah lebih banyak dari apa yang Allah ciptakan dan lagi jika manusia itu sendiri yang menciptakan perbuatan mereka niscaya mereka akan lebih tahu secara terperinci apa yang mereka ciptakan, tetapi rialiti yang kita lihat sekarang ini apabila kita berjalan menuju ke suatu tempat kita tidak tahu berapa langkahkah kita berjalan!!? Bagaimana mungkin kita yang jadikan perbuatan kita sendiri dalam masa yang sama kita jahil tentang hakikat sebenarnya..
Marilah kita kukuhkan aqidah ali sunnah yang sebenar dengan menentang segala kesesatan di Negara kita ini.. Allaahu akbar!!!
Hukuman orang murtad dan cara untuk mereka bertaubat
Adalah menjadi kewajipan bagi orang yang murtad untuk:
▪Kembali kepada Islam serta merta dengan mengucapkan kalimah shahadah dan;
▪Meninggalkan segala perkara yang menyebabkan riddah dan;
▪Berazam tidak akan mengulanginya lagi sehingga mati.
Jika seseorang itu tidak kembali kepada Islam dengan serta merta dengan ucapan kalimah shahadah , maka dia mesti dipaksa untuk mengucapkannya.
Jika dia tidak juga kembali kepada Islam selepas diarahkannya untuk kembali kepada Islam yakni hasil dari penyaksian 2 lelaki yang ^adil atau dari pengakuan si murtad itu sendiri, maka Khalifah akan membunuhnya (dan ini tidak bermakna si murtad boleh terkecuali dari dipaksa dengan memeluk agama lain kerana tidak diterima darinya selain dari agama Islam);Ini dilakukan dengan bersandarkan kepada hadith yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhariyy yang bermakna:
“ Barangsiapa yang meninggalkan Islam bunuhlah ia.”
Maka batal baginya:
puasa, tayammum, nikah (sebelum jima’ untuk kali pertama), nikah (selepas jima’ untuk kali pertama) sekiranya dia tidak kembali kepada Islam didalam waktu ^iddah.
Nikah orang yang murtad(lelaki atau perempuan)adalah tidak sah samada dengan orang yang Islam ataupun dengan orang yang bukan Islam.
Haram hukumnya memakan daging sembelihan orang yang murtad. Si murtad tidak boleh mewarisi harta dan hartanya juga tidak boleh diwarisi.
Sekiranya dia mati, mayatnya tidak boleh :
disembahyangkan (sesiapa yang menyembahyangkannya akan menjadi murtad sepertinya),
tidak boleh dimandikan , dikafankan atau dikuburkan di tanah perkuburan Islam.
Hartanya akan diserahkan kepada fay’.
Waspada dengan aqidah al-hulul
Dizaman muta’akhir ini pelbagai perkara-perkara pelik kita jumpai, ada yang mengaku sebagai imam mahdi, mengaku sebagai nabi malah ada juga yang mengaku tuhan langit, kenapa perkara ini boleh berlaku?
Ini semua adalah disebabkan kejahilan dari segi ilmu akidah, perkara ini sudah menjadi satu menyakit kronik yang merebak secara berleluasa di Malaysia sekarang., penyakit ini jelas sekali kesesatannya.
Perkara yang ingin dipertengahkan disini ialah suatui ajaran sesat yang dinamakan sebagai akidah al-hululiyyah , mereka ini adalah golongan tasauf yang bergelar as-syaziliyyah alyusrithiyyah yang menyempang dari guru asalnya , meraka berfahaman bahawa Allah itu adalah jumlah alam ini -wal iyazubillah-, mereka mengatakan kpd orang yang berjumpa dgnnya kamu ni Allah, dinding ini Allah,
mareka ini sudah terkenal dikalangan masyarakat yang mereka ini mencium tangan antara satu sama lain tak kira lelaki mahupun perempuan. Ada salah seorang daripada mereka itu berkhutbah atas mimbar masjid dan secara terang-terangan mengatakan bahawa dirinya sebahagian daripada Allah.
Perkara sebegini tidak boleh disembunyikan lagi , menjadi kewajipan bagi orang islam memberi peringatan kepada orang lain tentang bahaya nya puak ini, ramai dari kalangan pendakwah-pendakwah sekarang ini hanya menitik beratkan masaalah aurat , kebebasan anak muda sedangkan masaalah yang bersangkutan dgn akidah , yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada islam tidak dititik beratkan sama sekali.
Golongan ini perlu dihapuskan sama sekali sebelum ianya merebak , perlu dipatahkan hujjah mereka dgn ayat suci Al-Quran, antara hujjah yang mudah diigati ialah firman Allah taala : الحمد لله رب العالمين maksudnya : {segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam } ayat ini jelas sekali menunjukkan bahawa adanya Allah dan adanya makhluk ciptaannya, ianya adalah suatu yang berbeza kerana Allah bukan makhluk dan makhluk bukan Allah..
Sunday, May 17, 2009
ILMU TAUHID DAN KELEBIHANNYA
Alhamdulillah, Tuhan yang telah memerintah hambaNya untuk mengenaliNya, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi muhammmad, yang mengajak manusia mengenali Tuhan sekelian alam dengan dakwahnya.
Allah berfirman:
" فاعلم أنه لا اله الا الله واستغفر لذنبك "
Yang bermaksud:
“ Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tiada tuhan(yang haq) melainkan Allah, dan mohonlah keampunan bagi dosamu ”. Muhammad, ayat19.
Sesungguhnya ilmu mengenali Allah dan sifat-sifatNya merupakan ilmu yang paling mulia dan wajib. Ilmu ini dinamakan ilmu usul, ilmu tauhid dan ilmu aqidah. Nabi Muhammad telah mengkhususkan dirinya dalam kemulian ilmu ini dengan bersabda baginda :
" أنا أعلمكم بالله و أخشاكم له "
Yang bermaksud:
“ Aku yang paling mengenali Allah dan lebih takut kepadaNya daripada kalangan kamu ”.
Maka ilmu aqidah adalah ilmu yang paling penting dan paling mulia untuk dipelajari. Dinamakan juga ilmu ini yang berserta dengan dalil akal dan dalil naqli daripada Al-quran dan As-sunnah sebagai ilmu kalam. Dinamakan ilmu ini sebagai ilmu kalam kerana banyaknya pencanggahan pendapat di kalangan mereka yang mendakwa sebagai beragama Islam, dan banyak perbahasan mengenainya oleh ulama’ ahli sunnah untuk menyatakan kebenaran yakni menetapkan kebenaran. Sesetengah ulama’ pula menyatakan ilmu itu dinamakan ilmu kalam adalah kerana masaalah yang paling masyhur perselisihan pandangan padanya adalah mengenai Kalam Allah, apakah ianya qadim dan ini merupakan pendapat yang benar kerana ahlul sunnah menyatakan bahawa Allah mutakallim (bersifat dengan sifat kalam) yang azali lagi abadi, bukanlah berhuruf mahupun bersuara, bukan jua berbahasa arab, ibraniyyah, suryaniyyah dan bukan juga selainnya.
Telah berkata Imam Abu Hanifah radhiyallahu ‘anhu didalam kitab berliau yang berjudul Fiqhul Absoth mengenai Allah :
" ويتكلم لا ككلامنا, نحن نتكلم بالآلة والله متكلم بلا آلة ولا حرف "
Yang bermaksud :
“ Dan Allah bersifat dengan sifat kalam tidak seperti kalam kita kerana kita berkata-kata dengan mengunakan alat (seperti mulut) akan tetapi Allah bersifat dengan sifat kalam adalah tidak memerlukan kepada alat dan huruf ”.
Allah ta’ala bersifat dengan sifat kalam yang tidak sama seperti kalam kita, dan tidaklah bagiNya kalam yang ada permulaan dan tidak juga ada penghujungnya, tidaklah disifatkan kalam Allah itu diam atau terputus kerana kalam Allah tanpa huruf dan tanpa suara dan bahkan ia adalah sifat bagi Allah yang tidak sama dengan sekelian kalam makhluknya.Firman Allah ta’ala:
" وكلم الله موسى تكليما "
Yang bermaksud:
“ Dan Allah berkata-kata dengan Musa” .
Maka, ilmu tauhid merupakan Ilmu yang sangat mulia dari ilmu lain kerana Ilmu Tauhid berkaitan dengan semulia-mulia pengetahuan, kerana Ilmu Tauhid memberi manfaat dengan mengenal Allah, kita dapat mempelajari apa yang layak bagiNya dan mengenal RasulNya seperti apa yang layak baginya dan mensucikan Allah dari apa yang tidak harus bagiNya dengan mempelajari perkara-perkara yang wajib keatas para nabi dan mengetahui perkara yang tidak layak bagi mereka, maka adalah Ilmu tauhid itu lebih mulia dari ilmu hukum hakam.
Dan telah berkata Imam Abu hanifah didalam kitabnya yang berjudul : Fiqhul Absat :
" اعلم أن فقه في الدين أفضل من الفقه في الأحكام "
Yang bermaksud:
“ Ketahuilah bahawa mendalami Ilmu tauhid lebih mulia dari mendalami Ilmu hukum hakam”.
Wallahu a’lam wa ahkam.
Siapakah ahli sunnah wal jamaah?
Ahlus sunnah maknanya ialah mereka yang mengikuti jejak langkah nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya dalam semua urusan mereka. Kalimah wal jamaah bererti jemaah orang-orang islam yakni bilangan yang teramai dari kalangan mereka sejak zaman Rasul sallallahu alaihi wasallam sehingga ke hari ini dalam mengesakan dan mensucikan Allah daripada penyerupaan makhluk, mereka yang mensucikan Allah dan mengisbatkan bagi Allah sifat-sifat kesempurnaan yang layak baginya sebagaimana sifat-sifat yang dinyatakan oleh ulama’-ulama’ iaitu yang dikenali sebagai sifat dua puluh atau sifat tiga belas seperti sifat al-wujud, al-qidam, al-wahdaniah, al-qudrah, al-iradah dan lain-lain,
Semua sifat-sifat ini sudah makruf di kalangan umat islam amnya, semua mereka berpendirian yang sama dari sejak zaman sahabat serta khalifah-khalifah yang datang selepasnya dan seterusnya ke zaman kita sekarang ini. Sehinggakan pada zaman khalifah abbasiah ada seorang yang cukup terkenal dengan panggilan Solahuddin al-ayyubi , dia seorang yang alim dalam feqh syafie sehinggakan dia dapat menghafal bukan sahaja Al-Quran malah kitab tebal dalam fiqh syafie iaitu kitab tanbih dihafalnya secara terperinci, dia juga banyak kali menghadiri majlis ilmu hadis yang dihadiri oleh ulama’-ulama’ yang terbilang, dia cukup mengambil berat dalam mengajar masyarakat tentang aqidah asya’irah. Di zamannya ada seorang ulama’ bernama Muhammad bin hibah al-barmaki yang telah mengarang kitab dalam bentuk syair kemudian dipersembahkan kepada sultan solahuddin al-ayyubi. Dalam kitab itu dinyatakan tentang aqidah ahlis sunnah waljamaah yang menegaskan pendirian mensucikan Allah daripada mengambil tempat, beranggota dan daripada diselubungi arah yang enam, dan mengisbatkan sifat kalam bagi Allah taala serta mensucikan sifat kalamNya daripada berhuruf , bersuara dan bahasa.
Setelah menyemak buku tadi dia kelihatan sangat tertarik dengan buku itu lalu dia mengarahkan agar buku tadi dijadikan panduan asas di sekolah-sekolah untuk diajarkan kepada kanak-kanak, dia juga mengarahkan agar dibacakan kitab aqidah itu di masjid-masjid sebelum azan subuh dilaungkan, sejak dulu lagi orang-orang islam bangun sebelum subuh untuk sembahyang qiamul lail dan menunggu subuh. Solahuddin al-ayyubi mengarahkan mu’azzin-mu’azzin atas menara agar melaungkan kitab aqidah asya’irah ini.
Asya’irah adalah nama yang diambil nisbah kepada imam abu hasan al-asy’ariy, dia adalah seorang imam ahli sunnah di zamannya, dia dan juga seorang imam lagi yang bernama abu mansur al-maturidiy kedua-dua mereka bukanlah membawa fahaman baru dalam agama, tetapi apa yang kedua-dua mereka lakukan adalah mengumpul dan menyusun semula keterangan-keterangan berhubung dengan aqidah ahli sunnah wal-jamaah daripada hadis-hadis soheh dan ijmak para mujtahidin yang muktabar.
Dengan sebab itulah sehingga sekarang ini umat islam dari kalangan ahli sunnah menyandarkan diri mereka samaada kepada mazhab asya’irah atau maturidiyyah dari sudut aqidah.
Wednesday, May 6, 2009
DALIL PENGESAAN ALLAH
Antara dalil pengesaan Allah ialah bahawasanya semestinya bagi pencipta bersifat dengan sifat hidup, berkuasa, mengetahui, berkehendak dan ada pilihan tersendiri. Apabila telah ditetapkan sifat pencipta dengan apa yang kita perkatakan.
Kita kata “Kalaulah bagi alam ini terdapat dua pencipta maka wajiblah setiap satu dari keduanya bersifat hidup, berkuasa, mengetahui, berkehendak dan ada pilihan tersendiri. Dan dua tuhan yang sama-sama ada pilihan sendiri harus bercanggah pada pilihannya kerana setiap satu dari keduanya tidak boleh memaksa supaya yang kedua bersetuju pada pilihannya. Jika tidak maka kedua-duanya itu adalah digagahi, maka yang digagahi tidak layak digelar tuhan”.
Apabila benar yang demikian, kalaulah salah satu tuhan hendak menyanggah kehendak yang satu lagi pada satu perkara seperti salah satu dari keduanya hendak menghidupkan menghidupkan seseorang dan yang kedua hendak mematikannya maka dalam situasi tersebut tidak sunyi sama ada tercapai kehendak keduanya atau tidak tercapai kehendak keduanya atau tercapai kehendak salah satu dari keduanya dan tidak tercapai kehendak yang satu lagi.
Adalah amat mustahil tercapai kehendak keduanya kerana bertentangan pilihan. Iaitu jika salah satu dari keduanya hendak menghidupkan seseorang dan yang satu lagi hendak mematikannya maka mustahillah orang tersebut hidup dan mati dalam satu masa.
Jikalau tidak tercapai kehendak keduanya maka kedua-duanya adalah lemah dan yang lemah itu tidak layak digelar tuhan. Jika tercapai kehendak salah satunya dan tidak tercapai kehendak yang satu lagi maka yang tidak tercapai kehendaknya itu adalah lemah dan yang lemah bukanlah tuhan dan bukanlah bersifat sediakala.
(Inilah dalil yang masyhur dikalangan ulama’ digelar dengan nama “ Dalil Tamanu’”)
Tuesday, May 5, 2009
Pendirian Ahli sunnah “Allah wujud tanpa tempat”
1. Imam Abu Hanifah mengatakan dalam kitabnya “al-fiqhul abshot”:
Adalah Allah taala itu azali ‘tanpa tempat’, tanpa dimana, tanpa makhluk , dan tanpa ada sesuatu pun. Dan Dialah pencipta segala sesuatu.
2. Imam Syafie sebagaimana yang terdapat dalam kitab “ithafussadatulmuttaqin” mengatakan:
Adalah Allah taala itu azali ‘tanpa tempat’, kemudian Dia menjadikan tempat sedangkan Dia kekal bersifat azali (tidak berubah), bahkan sepertimana Dia sebelun menjadikan tempat. Tidak harus (mustahil) ke atasNya perubahan samaada pada zatnya mahupun pada sifatnya.
