Social Icons

Pages

Monday, July 13, 2009

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ.. >>>>>> MENOLAK PEMBOHONGAN SERTA KEKELIRUAN BERKAITAN DENGANNYA

Segala pujian bagi Allah tuhan sekelian alam yang menciptakan bumi, langit, arasy, tempat, masa dan semua makhlukNya, wujudnya sebelum dari makhlukNya yang Dia bersifat azali lagi abadi dan wujudNya tanpa bertempat.Selawat dan Salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad, keluarga, para sahabat dan sekelian umat Islam

Sebagai umat islam yang sebenar, wajib beriman dengan perkara luar biasa atau ajaib, yang secara adatnya tidak diterima oleh akal, dimana ianya berlaku atau diberikan oleh Allah kepada para Rasul Alaihimus Salam yang diistilahkan sebagai mukjizat. Mukjizat tersebut diberikan oleh Allah kepada para rasul bagi membenarkan dakwaan mereka bahawa mereka merupakan utusan Allah yang sebenar kepada umat manusia.

Perkara luar biasa atau ajaib ini bukanlah cerita dongeng dahulu kala yang tidak berasas seperti yang dilemparkan oleh golongan Orientalis ataupun sebagaimana yang ditonjolkan dalam cerita-cerita kartun animasi. Perkara mukjizat ini merupakan perkara usul atau asas dalam islam yang mesti diimani mengikut disiplin ilmu islam. Inilah antara keyakinan atau Akidah yang membezakan antara umat islam dengan umat yang lain. Keimanan atau kepercayaan dalam ajaran islam bukan hanya beriman dengan perkara yang zahir, bahkan perlu kepada beriman dengan perkara yang ghaib. Seseorang itu masih tidak dianggap sebagai muslim jika tidak beriman dengan perkara ghaib seperti Syurga, Neraka, malaikat, dosa dan pahala.

Antara mukjizat agung yang diberikan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam ialah peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun ke-lima sebelum hijrah. Ianya melangkau jangkaan pemikiran manusia di mana Rasulullah diperjalankan (israk) oleh Allah dalam waktu yang singkat dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, seterusnya dibawa melihat keajaiban dan keanehan ciptaan Allah yang berada di alam yang tinggi (malakut al-a’la) iaitu di langit (mikraj) dalam masa sebahagian malam sahaja. Peristiwa ini berlaku pada diri Rasulullah untuk menunjukkan kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada baginda yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Bukanlah suatu perkara yang besar, susah atau aneh bagi Allah, tuhan semesta alam untuk melakukan sedemikian kerana Dialah tuhan yang telah menjadikan segala kewujudan ini dari tiada kepada ada.

Berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj ini, umat islam banyak mengambil berita-berita atau cerita-cerita yang tidak berasas atau tidak bersumberkan dari sumber yang sahih lagi boleh dipercayai. Berikutan dari itulah, banyak kisah yang diriwayatkan berkaitan Israk dan Mikraj ini adalah pembohongan semata-mata. Amat mendukacitakan kita sekiranya cerita atau kisah palsu berkaitan mukjizat yang agung ini dilontarkan dari mulut-mulut khatib di atas mimbar, penceramah-penceramah di masjid atau diajar dalam majlis-majlis ilmu turun temurun. Oleh yang demikian, di bawah ini dimuatkan sebahagian cerita-cerita palsu tersebut supaya kita dapat menghindari dan menjauhi dari percaya kepadanya.

Pertama: Sebahagian umat islam percaya bahawa Mikraj merupakan satu peristiwa yang menunjukkan bahawa Rasulullah sampai ke tempat di atas langit yang ke tujuh di mana di situlah Allah berada.

Kepercayaan atau iktikad yang mengatakan Allah berada di atas langit, tidak kiralah samada dimaksudkan langit secara umum atau dikhususkan kepada Kursi atau Arasy sebenarnya sesat lagi kufur di sisi ahli sunnah wal jamaah. Ini kerana kepercayaan sedemikian menisbahkan atau menyifatkan Allah berada pada sudut atau tempat. Sedangkan akidah dan kepercayaan umat islam yang sebenarnya ialah Allah jualah yang menciptakan segala-galanya yang ada, antaranya tempat dan arah atau sudut. Allah telah pun ada atau wujud sebelum itu lagi tanpa mempunyai arah, sudut mahupun tempat. Inilah yang dikatakan bahawa wujud Allah azali, bermaksud adanya Allah tidak dijadikan oleh sesiapapun kerana Dia adalah Tuhan. Tempat, arah dan lain-lain merupakan ciptaan Allah yang dinamakan sebagai makhluk dan makhluk tidak azali. Tidak azali bererti sebelum itu tidak ada kemudian dijadikan oleh Allah. Maka mustahil Allah perlu atau berhajat kepada makhluk ciptaanNya sendiri sedangkan sebelum itu Allah telahpun wujud tanpa ada tempat, arah dan lain-lain.

Imam al-Syafie Rahimahullah berkata seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Qusyairi: Ketahuilah oleh kamu semua bahawa Allah Azzawajalla tidak ada tempat bagiNya (iaitu tidak bertempat)”. Imam ahli sunnah iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asyari juga berkata sedemikian seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi: “Sesungguhnya Allah Taala tidak ada tempat baginya”. Imam Abu Mansur al-Baghdadi pula menyebutkan dalam kitab beliau al-Farqu Baina al-Firaq: “Dan mereka telah berijmak (iaitu ahli sunnah) bahawa Dia (iaitu Allah) tidak diliputi oleh tempat dan tidak beredar dengan peredaran masa”.

Inilah ijmak ahli sunnah yang menunjukkan bahawa Allah wujud tidak bertempat, sama ada di atas atau di bawah, kiri atau kanan, depan atau belakang kerana kesemua arah tersebut ciptaan Allah yang asalnya tidak ada langsung kemudian dijadikan oleh Allah. Begitu jugalah masa, tidak kira sebelum atau selepas, semalam, hari ini atau esok, pagi atau petang, siang atau malam. Barang sesiapa beriktikad berlainan dari apa yang disebutkan, maka mereka itulah yang digelar sebagai golongan Al-musyabbihah, iaitu golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk ciptaanNya sendiri. Golongan Al-musyabbihah tersebut dihukumkan sebagai kafir oleh ulama islam. Imam Abu Ja’far al-Thahawi berkata dalam Akidah al-Thahawiyyah:“Barang sesiapa menisbahkan bagi Allah sifat yang merupakan sifat makhluk, sesungguhnya dia kafir. Jelas bagi kita bahawa antara sifat bagi makhluk ialah wujud yang memerlukan tempat.

Walaupun demikian, amatlah mendukacitakan kita kerana ada sebilangan orang islam yang menyandarkan diri mereka sebagai tok guru atau ahli ilmu mengelirukan umat islam yang lain berkenaan peristiwa Mikraj ini dengan menyatakan bahawa Rasul telah sampai ke tempat yang merupakan markaz atau tempat Allah berada, Wal i’yazzubillah. Pandangan atau ucapan sebegini jelas hukumnya kufur kerana menyifatkan Allah sifat yang sama dengan makhluk. Ianya terbit dari pembacaan yang disandarkan kepada sebahagian kitab murahan yang mudah didapati di mana isi kandungannya tidak terkandung Akidah At-tanzih, iaitu akidah ahli sunnah yang menyucikan Allah dari sebarang persamaan dengan makhlukNya. Contoh kitab tersebut ialah Kitab al-Mikraj” yang dinisbahkan kepada Ibnu Abbas secara dusta. Perkara sebegini dan seumpamanya wajib diberi peringatan kepada umat islam.

Penjelasan sebenar berkenaan perkara ini ialah Rasulullah telah sampai ke tempat yang dikehendaki oleh Allah selepas sampai di Sidratul Muntaha, di mana di situlah baginda mendapat perintah Allah mengenai kefarduan solat. Begitu jugalah berkenaan Rasulullah berulang alik memohon dikurangkan waktu solat tersebut dari tempat Nabi Musa. Bukan bererti Nabi berulang alik dari tempat Nabi Musa ke tempat Allah berada,

bahkan berulang alik ke tempat asal yang baginda mendengar Kalamullah yang azali tanpa suara, huruf dan bahasa, Allah menciptakan kekuatan pada hati Rasulullah sehingga rasulullah faham akan ianya wahyu dari Allah mengenai kefarduan solat sehingga dikurangkan sehari semalam kepada lima waktu kerana Allah wujud tidak bertempat.

Kedua: Sebahagian orang islam mengatakan; “Peristiwa Mikraj berlaku dengan ruh sahaja, bukan beserta jasad”.

Pandangan di atas jelas bercanggah dengan apa yang tersebut melalui hadis-hadis yang sahih. Di dalam al-Quran terkandung satu ayat yang amat hampir kepada jelas berkaitan peristiwa Mikraj di mana ayat tersebut bermaksud:

“Demi sesungguhnya dia (Muhammad) telah melihatnya (Jibril) buat kali yang ke-dua, di Sidratul Muntaha. Di situlah terletaknya Jannah al-Makwa”, Surah al-Najmi: 13.

Ayat tersebut menjelaskan kepada kita bahawa Nabi Muhammad telah melihat Malaikat Jibril dalam bentuk rupa parasnya yang asal, yang mempunyai enam ratus sayap di malam Mikraj di langit yang ke-tujuh dalam keadaan sedar dengan ruh dan jasad.

Antara hadis yang menyebutkan berkenaan peristiwa Mikraj ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya bahawa Rasulullah telah berkata:

“Kemudian kami dibawa naik ke langit, maka dipohon pintu langit dibuka oleh Jibril, lalu ditanya: Siapakah kamu? (Jibril) berkata: (Aku) Jibril. Ditanya: Siapakah bersamamu? (Jibril) berkata: Muhammad”.

Melalui jawapan Jibril tersebut, Jibril tidakpun berkata: “bersamaku ruh Muhammad”!. Di akhir hadis itu Rasulullah menceritakan: Lalu aku turun kepada Musa. Ketika itu Nabi Musa berada di langit yang ke-enam. Rasul tidakpun berkata: Ruhku turun kepada Musa Alaihis Salam”.

Oleh itu, apakah asas yang digunakan oleh golongan ini bagi menegakkan pandangan mereka bahawa Rasulullah Mikraj dengan ruh sahaja?! Apakah mukjizatnya peristiwa Mikraj bagi Rasulullah jika berlaku dengan ruh sahaja?!

Ketiga: Sesetengah orang yang jahil mengatakan Rasul berdiri di atas seketul batu dan batu tersebut terapung bersama baginda ketika berlakunya peristiwa Mikraj. Batu tersebut pula sekarang ini berada di dalam Kubah Hijau (Qubbatu al-Sokhroh) di Palestin. Diceritakan bahawa batu tersebut terapung apabila Rasul berkata: “Tetaplah ditempatmu. Maka batu tersebut pada sangkaan mereka sehingga sekarang berada dalam keadaan terapung. Kisah ini sama sekali tidak benar kerana hakikatnya batu itu tidak terapung dan dapat dilihat di Kubah Hijau (Qubbatu al-Sokhroh).

Keempat: Sesetengah orang mengatakan Allah menjadikan Rasulullah dapat mendengar suara Abu Bakar di langit ketika Mikraj agar baginda merasa tenteram dari ketakutan. Perkara ini tidak berasas sama sekali.

Kelima: Sesetengah golongan mengatakan peristiwa Mikraj merupakan perjalanan dalam tidur ((rehlah manamiyyah)).

Pandangan ini batil yang merupakan permainan syaitan. Jika demikianlah, di manakah mukjizat bagi baginda seperti sangkaan mereka?!

Keenam: Tersebut dalam kitab yang dinamakan Mikraj Ibnu Abbas” yang disandar secara dusta kepada beliau, ada malaikat yang sebahagian dirinya terdiri dari api dan sebahagian lagi dari salji.

Api tidak mencairkan salji dan salji tidak pula memadamkan api, dia mempunyai seribu kepala, bagi setiap kepala sejuta wajah, bagi setiap wajah sejuta lidah yang sentiasa bertasbih kepada Allah dengan sejuta bahasa. Cerita ini karut kesemuanya.

Untuk makluman bersama, kitab yang dinisbahkan kepada Ibnu Abbas ((Mikraj Ibnu Abbas)) adalah tidak benar sama sekali dan penuh dengan akidah-akidah serta cerita-cerita yang kufur. Antara yang jelas menyalahi akidah ahli sunnah ialah cerita bahawa Nabi menghampiri Tuhan sehingga hampir sangat seperti lengkungan panah bahkan lebih hampir dari itu. Cerita tersebut menisbahkan Allah mempunyai jarak seperti makhlukNya. Kandungannya juga menisbahkan anggota badan kepada Allah seperti: “ Maka Allah Subhanahu Wa Taala meletakkan tanganNya diantara dua bahuku, maka aku merasa sejuk jari jemarinya”. Kata-kata ini menisbahkan anggota badan seperti manusia yang jelas kufur seperti yang diijmakkan oleh ulama ahli sunnah.

Ketujuh: Apa yang diriwayatkan dari Saiyidah Aisyah Radiyallahu Anha bahawa beliau berkata: “Tidaklah hilang jasad Rasulullah, tetapi (baginda) diisrakkan dengan ruhnya”.

Hadis tersebut tidak sabit. Al-Qadhi ‘Iyad dalam kitab beliau “al-Syifa” mendaifkan matan dan sanadnya, al-Hafiz Ibnu Dahyah pula mengatakannya sebagai hadis palsu. Perkara yang jelas bahawa ianya tidak sabit dari Aisyah ialah Rasulullah belum lagi bersama beliau sebagai suami isteri melainkan selepas hijrah. Apatah lagi baginda belum lagi bertunang dengan beliau semasa peristiwa Israk berlaku.

Demikian jugalah yang dikatakan bahawa Rasulullah bersabda: Jibril mendatangiku dengan safarjalah dari Syurga, lalu aku memakannya pada malam aku akan diisrakkan, maka lahirlah Fatimah dari Khadijah. Maka apabila aku berasa rindu terhadap bauan Syurga, aku menghidunya di tengkuk Fatimah”. Al-Zahabi berkata bahawa ianya hadis yang jelas palsu yang dilakukan oleh Muslim Bin Isa al-Saffar. Ini kerana Fatimah telahpun dilahirkan sebelum Nabi diangkat menjadi rasul, lebih-lebih lagi peristiwa Israk berlaku pada tahun ke-lima sebelum hijrah.

Kelapan: Antara perkara batil yang tidak benar ialah apa yang diriwayatkan, apabila Rasulullah dan Jibril melebihi Sidratul Muntaha, Jibril berkata: Disinilah berpisah kekasih dengan kekasihnya, sekiranya aku kedepan lagi sudah pasti aku terbakar”.

Bersyukurlah kita kepada Allah kerana dengan limpah rahmatnya kita menjadi umat yang terbaik berbanding umat-umat yang lain. Ianya tidaklah wujud begitu sahaja semata-mata kerana kita berada atau tergolong dalam umat Nabi Muhammad, tetapi kerana sifat percaya atau beriman dengan Allah dengan kepercayaan yang sahih, seterusnya melakukan serta menyuruh kepada kebaikan dan menghindari serta mencegah dari perkara yang keji lagi tercela di dalam agama,serta kita menjadi insan yang beriman, berilmu dan beramal Mudah-mudahan perkara palsu yang berlaku atau digembar gemburkan berkaitan peristiwa bersejarah ini dapat kita hapuskan dengan rasa tanggung jawab sebagai individu muslim yang cintakan agamanya.

2 comments:

  1. salam ustaz,boleh tak ustaz cerita yang betol punya ,....pening pulak saya dengar cerita ustaz ni....

    yang sebetol-sebetolnya cerita macam mana ....

    ReplyDelete
  2. Waalaikum salam, Apa yang saya cuba ketengahkan adalah perkara yang menjadi kesalahan jika beriktiqad sedemikian ketika memperbincangkan peristiwa israk mikraj.., saya akan masukkan ringkasan dari apa yang berlaku pada malam israk dan mikraj.. insya Allah

    ReplyDelete

>

Komen Terkini

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog
 

Posts & Comments

get this

Trafik

 
Blogger Templates