Social Icons

Pages

Thursday, May 27, 2010

MARTABAT IMAN DAN ISLAM

IMAN & ISLAM TETAP ADA DALAM DIRI SETIAP MUSLIM, YANG BERTAMBAH @ BERKURANG ITU ADALAH SIFATNYA
Telah diriwayatkan di dalam hadis soheh bukhari dan muslim bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud : “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku ini adalah pesuruh Allah, apabila mereka telah mengatakan demikian itu maka akan terpeliharalah darah-darah mereka dan harta benda mereka dariku kecuali ianya menjadi hak Islam”. Hadis ini merupakan hadis yang teramat soheh, ianya telah diriwayatkan oleh sebilangan besar sahabat seterusnya kepada tabi’iin.. padanya tedapat dalil bahawa dengan hanya menyaksikan bahawa ‘tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah’ adalah kadar yang mencukupi untuk jadikan seorang itu Islam dan beriman kepada Allah kerana apabila disertakannya dengan kepercayaan dalam hati, itulah dia Iman dan Islam. Akan tetapi, jika dengan hanya percaya dalam hati tanpa diucapkan dua kalimah syahadah, maka ianya tidak memadai bagi mereka yang tidak lahir dalam kalangan ibu bapa yang Islam. Untuk masuk Islam, dia hendaklah menuturkan dua kalimah syahadah barulah dia dihukumkan Islam. Adapun, mereka yang dilahirkan dalam kalangan ibu bapa yang Islam, maka memadai untuk sah Iman dan Islamnya dengan berpegang pada kandungan makna dua syahadah walaupun tidak dituturkan dua syahadah tadi. Tetapi, dia dihukumkan berdosa kerana tidak melafazkannya.
Siapa yang berpegang dengan makna dua kalimah syahadah dalam hatinya, kemudian dia tidak ambil tahu tentang asas-asas Iman dan Islam dan tidak ambil tahu tentang amalan yang wajib dirinya lakukan seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, dalam masa yang sama dia tidak pernah mengingkarinya. Fikirannya kosong, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk ambil tahu, untuk mengingkari atau ragu-ragu tentang asas-asas tersebut. Maka orang seperti itu masih dihukumkan Islam.
Bukanlah syarat sah Iman dan Islam mesti ambil tahu tentang perkara berkaitan Rukun Islam dan Iman kerana kebanyakan rukun-rukun itu terdapat dalam satu hadis Jibril yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab iaitu penyaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji bagi mereka yang mampu pergi ke sana. Adapun rukun Iman iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada para malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat serta qada’ dan qadar. Pengetahuan tentang ini bukanlah menjadi syarat untuk sahnya Islam dan Iman seseorang. Akan tetapi, syarat sah Islam dan Iman seseorang itu adalah dengan hanya berpegang dengan makna dua kalimah syahadah disamping itu dia tidak ber’iktiqad dengan ‘aqidah yang bertentangan dengannya.
Kemudian, sesiapa yang berpegang dengan makna dua kalimah syahadah semata-mata, tidaklah menjadikan Islam dan Imannya sempurna kecuali setelah digabungkan dengan pengetahuan tentang rukun-rukun Islam dan Iman serta dia menunaikan kewajipan dan menjauhi segala yang dilarang.
Sebahagian manusia menyangkakan bahawa tidak sah islam seseorang kecuali telah menghimpunkan rukun Islam yang lima. Mereka menyangkakan apabila dikatakan rukun Islam, kalimah rukun itu tidak ubah maknanya seperti perkataan ulama’ tentang ‘rukun solat’ adalah begini-begini.., rukun puasa adalah begini-begini.. kerana makna ‘rukun solat’ adalah perkara-perkara yang tidak sah kecuali dengan terhimpunnya segala rukun itu. Bukanlah ungkapan ‘rukun’ pada rukun Iman dan Islam seperti ungkapan ‘rukun’ pada rukun solat.., tidak boleh mereka berprasangka bahawa Iman dan Islam tidak dikira kecuali setelah terhimpun rukun-rukun tersebut. Sebagaimana tidak dikira solat itu kecuali setelah terhimpun segala rukun-rukunnya. Ini adalah fahaman yang salah!!. Tidak boleh kita bandingkan rukun Iman dan Islam dengan rukun solat dan puasa!!.
Kemudian Iman dan Islam mempunyai dua martabat iaitu martabat yang tinggi dan martabat yang rendah. Martabat yang tinggi tidak akan terhasil kecuali dengan berpegang makna dua kalimah syahadah dan menunaikan segala yang diwajibkan Allah ke atas hambaNya daripada amalan hati dan amalan yang dikerjakan dengan anggota badan dan dengan menjauhi segala yang diharamkan Allah. Adapun martabat rendah iaitu dengan berpegang makna dua kalimah syahadah sahaja.
Antara martabat-martabat ini sangatlah berbeza kerana martabat yang rendah itu hanyalah menjamin tuannya untuk menjauhi kekufuran dan selamat daripada kekal di dalam neraka dan seterusnya memasuki syurga samada setelah diazab atas kesalahan dosa yang dilakukan atau dimasukkan ke dalam syurga tanpa diazab terlebih dahulu.
Apabila seseorang itu telah masuk syurga, dia akan memperolehi empat perkara iaitu kehidupan yang tidak akan mati selepasnya, muda yang tidak akan tua selepasnya, kemewahan yang tidak putus, kesihatan yang tidak sakit selepasnya. Empat perkara ini merupakan ganjaran dari Allah ke atas setiap muslim yang memasuki syurga.
Adapun orang yang berada di martabat tinggi, mereka itu ketika meninggal dunia, akan disambut oleh malaikat maut iaitu Izrail Kemudian apabila telah dikebumikan tidak akan terjadi kepadanya kesulitan atau kepayahan dan dia tidak akan diancam oleh binatang berbisa yang ada di bumi dan dia tidak akan berada dalam ketakutan, tidak risau dengan kegelapan kubur, tidak rasa tersempit kerana Allah taala meluaskan kuburnya sejauh 70 hasta lebar dan dalam dan sebahagian mereka Allah luaskan kuburnya sejauh mata memandang. Adapun kegelapan kubur cukup dengan hanya Allah menyinarkan kuburnya dengan cahaya seperti cahaya bulan purnama. Kemudian, Allah anugerahkan bagi mereka yang berada di martabat tinggi kenikmatan yang tidak pernah dilihat oleh manusia waimma malaikat . Allah taala sembunyikan daripada pandangan mata sehinggakan malaikat penjaga syurga sendiri tidak pernah melihatnya. Nikmat-nikmat ini Allah taala khaskan untuk para solihin.

1 comment:

>

Komen Terkini

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog
 

Posts & Comments

get this

Follow by Email

Trafik

 
Blogger Templates