Social Icons

Pages

Sunday, May 30, 2010

“AGAMA-AGAMA SAMAWI” ISTILAH KEJI YANG MESTI DIHINDARI

SEBUTAN YANG BETUL ADALAH “AGAMA SAMAWI” KERANA AGAMA YANG DITURUNKAN DARI LANGIT ADALAH ISLAM SATU-SATUNYA.

Umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam merupakan umat yang terpilih lagi mulia selagi mana mereka sentiasa berpegang serta memperjuangkan perkara yang makruf dan membanteras serta membasmi perkara yang mungkar. Perkara yang paling utama, paling asas ialah mereka beriman dengan Allah Subhanahu Wa Taala yang telah menurunkan Agama Islam dari langit kepada nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Sedia maklum bahawa agama sebenar, yang diredai oleh Allah hanyalah Agama Islam sahaja. Agama Islam bukan sahaja merupakan agama Nabi Muhammad, bahkan agama nabi-nabi terdahulu sebelum baginda. Perkara ini dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran. Inilah yang akan dihuraikan nanti berdasarkan nas yang jelas dari al-Quran dan al-Sunnah.

Apa yang berlaku sekarang ini secara realitinya ialah wujud istilah “Agama-agama samawi” ((al-adyan al-samawiyyah)) dalam bentuk kata banyak (sighah jama’) yang diistilahkan kepada agama-agama lain selain dari Agama Islam datangnya juga dari langit. Dalam erti kata yang lain datang dari Allah juga. Ini merupakan satu kesilapan yang besar lagi bahaya.

Apa yang lebih tercela ialah istilah tersebut merujuk kepada nabi-nabi tertentu seperti istilah Agama Hanif kepada Nabi Ibrahim, Agama Yahudi kepada Nabi Musa dan Agama Kristian atau Nasoro kepada Nabi Isa Alaihimus Salam. Perkara ini dilakukan oleh segelintir pengarang yang mengarang buku-buku sejarah mengenai agama-agama di dunia dan di dalam karangan-karangan lain, begitu juga dalam syarahan serta kuliah agama oleh sebahagian pendakwah. Jika dilihat, perkara ini amat mendukacitakan kita kerana golongan pengarang ini atau pendakwah tersebut bukanlah terdiri dari orang kebanyakan bahkan mereka ini terdiri dari orang-orang yang mempunyai ijazah dalam bidang agama bahkan dianggap tokoh atau cendikiawan agama.

Perlu kita fahami bahawa jika dikatakan atau diistilahkan “agama samawi” dalam kata tunggal (sighah mufrad) adalah islam ataupun islam adalah “agama samawi”, maka ianya betul dan tidak bercanggah. Ini kerana agama yang sebenar hanya satu sahaja iaitu Agama Islam. Agama Islam dinisbahkan kepada langit kerana datangnya dari Allah yang menurunkannya dari Lauh al-Mahfuz yang terletak di atas langit melalui Malaikat Jibril kepada para nabi yang bermula dari Nabi Adam Alaihis Salam sehinggalah nabi yang terakhir Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Kesemua mereka datang dengan membawa agama yang satu tetapi dengan syariat yang berlainan. Oleh yang demikian dikatakan “syariat-syariat samawiyyah” bukannya “agama-agama samawiyyah”.

Justeru itulah, syariat setiap rasul berbeza, adapun segi usul atau akidah kesemuanya sama, tidak ada keraguan mahupun kelainan seperti beriman dengan Allah, para malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat dan beriman dengan qada baik dan buruk. Perbezaan hanya berlaku pada sebahagian syariat. Sebagai contoh; pada zaman Bani Israil pakaian yang terkena air kencing tidak boleh disucikan melainkan dengan memotong bahagian yang terkena najis tersebut. Bagi umat Nabi Muhammad kelonggaran diberikan oleh Allah dengan disyariatkan harus dibasuh tanpa memotong pakaian seperti mereka. Begitu juga pada syariat dahulu tidak boleh menunaikan solat kecuali pada tempat tertentu, bagi umat Nabi Muhammad pula di mana sahaja mereka berada boleh menunaikan solat.

Bagi penggunaan istilah “agama-agama” yang tidak dinisbahkan kepada langit, ianya bukanlah satu kesalahan. Malah, kita sebutkan Islam sebagai “agama” dan selain islam iaitu agama-agama yang batil ciptaan manusia sendiri juga disebut sebagai “agama”. Ini berdasarkan firman Allah Taala dalam Surah al-Kafirun, ayat 6 yang bermaksud:

“Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.

Dalam al-Quran terdapat satu ayat yang amat jelas lagi amat mudah difahami sekalipun bagi orang-orang yang baru belajar Bahasa Arab bahawa agama sebenar yang datang dari Allah hanya satu sahaja, tidak dua, tidak tiga apatah lagi lebih dari itu.

Ayat tersebut ialah firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran, ayat 19 yang bermaksud:

“Sesungguhnya agama (yang sebenar) di sisi Allah ialah (Agama) Islam”.

Dalam ayat-ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud;

“Barang sesiapa yang mencari agama selain Agama Islam maka ianya tidak akan diterima. Dan dia di akhirat kelak tergolong dikalangan orang-orang yang rugi”.

Surah Ali-Imran: 85,

“Bukanlah Nabi Ibrahim orang Yahudi mahupun Nasrani tetapi dia merupakan orang yang suci (hanif) lagi muslim, dan tidaklah dia tergolong di kalangan orang-orang yang musyrik”.

Surah ali Imran: 67.

Berdasarkan tiga ayat di atas, Allah menetapkan hanya Agama Islam datang daripadaNya dan agama lain adalah salah dan sesat tanpa kompromi. Begitu juga Allah menafikan Nabi Ibrahim dari sifat syirik seperti golongan Yahudi dan Nasoro. Ini menunjukkan serta menjelaskan kepada kita bahawa golongan Yahudi dan Nasoro merupakan golongan yang mensyirikkan Allah seperti kata Yahudi; Allah berehat pada hari ke tujuh di atas Arasy setelah berpenat lelah menciptakan bumi dan langit, begitu juga golongan Nasoro yang beriktikad dengan akidah “trinity”.

Jika begitulah keadaannya, adakah boleh dikatakan Nabi Muhammad datang dengan Agama Islam , Nabi Musa dengan agama yang lain iaitu Yahudi, begitu juga para nabi yang lain datang dengan agama yang berbeza sedangkan kesemua mereka utusan dari Allah, tuhan yang satu? Adakah pandangan sebegini diterima oleh orang yang berakal?!!

Pandangan ini yang jelasnya amat terkutuk kerana menyamakan Islam dengan agama batil yang menyekutukan Allah, yang menyamakan Allah dengan makhlukNya seperti bertempat, beriktikad bahawa Allah berehat atau duduk di atas Arasy, yang menisbahkan bagi Allah sifat tercela seperti letih, beranggota dan sebagainya. Jika para nabi datang membawa agama tersebut dari Allah, apa gunanya Nabi Muhammad dan seterusnya umat baginda berdakwah atau menyeru golongan yang kafir seperti Kaum Yahudi kepada Islam kerana agama mereka pun dari Allah?!!

Adakah di sana nas al-Quran atau hadis, bahkan kata-kata alim dari ulama muktabar islam yang mengukuhkan pandangan mereka bahawa para nabi tersebut datang dengan agama yang bernama selain Agama Islam? Jawapannya sudah tentu tidak ada langsung sama sekali bahkan ianya khayalan serta tokok tambah mereka sahaja.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya, Kitab al-Anbiyak, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah bersabda:

“Para nabi merupakan saudara sebapa (ibu berlainan), agama mereka satu dan ibu-ibu mereka pelbagai”.

Maksud hadis ini ialah agama ke semua nabi ialah Agama Islam, cuma syariat mereka sahaja yang berbeza dari satu umat dengan umat yang lain.

Berkenaan Nabi Isa Alaihis Salam yang dikatakan membawa Agama Nasrani atau Kristian, kita dapat lihat kebatilan serta percanggahannya menerusi firman Allah di mana Allah menceritakan berkenaan baginda dalam ayat yang bermaksud;

“Maka tatkala Isa mengetahui keingkaran mereka (Bani Israil), dia berkata: siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah? Maka berkatalah Hawariyyun (sahabat-sahabat setia baginda) menjawab: Kamilah penolong-penolong (agama) Allah. Dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang muslim”.

Surah Ali Imran: 52.

Bagi Nabi Allah Sulaiman Alaihis Salam, Allah menceritakan berkenaan baginda seperti mana firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya surat itu dari Sulaiman dan sesungguhnya (isinya) “Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Bahawa janganlah kamu sekelian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang muslim”,

Surah al-Namlu: 30-31.

Saidina Yusuf Alaihis Salam yang wujud sebelum Nabi Musa Alaihis Salam, Allah menceritakan berkenaan baginda:

“Wafatkanlah daku dalam keadaan islam dan gabungkanlah daku beserta orang-orang yang soleh”,

Surah Yusuf: 101.

Di sana masih terdapat banyak ayat-ayat berkenaan para nabi lain yang menunjukkan seumpamanya. Berkaitan orang-orang Yahudi, mereka sebenarnya ialah pengikut Saidina Musa Alaihis Salam dan nabi-nabi yang lain di kalangan Bani Israil, mereka itu pada asalnya beragama dengan Agama Islam yang di bawa oleh nabi-nabi mereka. Kalimah Yahudi lahir menerusi firman Allah yang menceritakan berkenaan Nabi Musa yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami bertaubat (hudna) kepadaMu”.

Surah al-A’rof: 156.

Berdasarkan ayat di atas, kalimah “hudna” beerti Bani Israil bertaubat dari kesalahan yang mereka lakukan. Oleh itulah mereka digelar sebagai Yahudi. Demikian jugalah perihalnya dengan Nasoro, ianya merupakan nisbah kepada suatu tempat di Palestin yang dinamakan al-Nasiroh, dikatakan juga Nasroh. Boleh juga dikatakan ianya disebutkan demikian kerana mereka menolong Nabi Isa yang dipanggil nasoro atau Hawariyyun seperti dalam ayat yang telah lalu dalam surah Ali Imran, ayat 52,

“Maka berkatalah Hawariyyun (sahabat-sahabat setia baginda) menjawab: Kamilah penolong-penolong (agama) Allah. Dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang muslim”.

Dalil lain dalam al-Quran menunjukkan bahawa Agama Islam adalah agama semua nabi sebelum Muhammad;

“Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang telah kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya”.

Surah al-Syura: 13.

Jika diteliti ayat di atas ianya menunjukkan dengan jelas bahawa agama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam merupakan agama yang sama seperti yang telah diwahyukan kepada nabi-nabi terdahulu. Contohnya seperti yang dinyatakan dalam ayat tersebut ialah Nabi Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa Alaihimus Salam. Apabila agama tersebut sama beerti kesemuanya datang dengan Agama Islam. Kenapa ada segelintir yang memandai-mandai menokok tambah mengatakan kononnya Nabi Ibrahim membawa Agama Hanif, Musa dengan Yahudi dan Isa dengan Nasoro? Adakah terlalu susah atau terlalu berat lidah mereka untuk mengungkapkan bahawa kesemua nabi membawa Agama Islam dari Allah? Atau di sana ada sekelumit maksud yang tersirat bagi menggambarkan Agama Islam tidak jauh bezanya dengan Agama Yahudi dan Nasoro untuk mendampingi mereka, yang kononnya islam amat bertoleransi dengan mereka dalam soal dunia mahupun soal kepercayaan atau akidah?.

Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud;

“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu Kami berikan peraturan (syir’a`tan) dan jalan yang terang”,

Surah al-Maidah: 48.

Dalam ayat di atas Allah tidak pun berfirman “Untuk tiap-tiap umat di antara kamu Kami berikan agama (din)…”, tetapi yang wujud ialah syariat kerana semua nabi datang dengan agama yang satu iaitu Agama Islam, yang berbeza cuma syariat sahaja yang berbeza di antara satu umat dengan satu umat yang lain.

Berdasarkan keterangan dan hujah-hujah yang diberikan, perlulah kita memberikan perhatian sewajarnya kepada istilah “agama-agama samawi” yang mungkin dianggap remeh tetapi sebenarnya perkara besar dan berbahaya kepada akidah kita. Ini kerana implikasi daripadanya akan timbul anggapan bahawa Agama Yahudi dan Nasoro atau Kristian sama dengan Agama Islam kerana dari Allah jua. Begitu juga akan ada anggapan bahawa Nabi Ibrahim, Musa dan Isa, agama mereka tidak sama dengan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Seterusnya akan beriktikad bahawa Nabi Musa membawa akidah yang lain mengenai Allah seperti iktikad Yahudi sekarang, Nabi Isa dengan akidah yang lain yang dipercayai oleh Nasoro begitu juga Nabi Muhammad dengan akidah yang lain seperti yang kita anuti. Ini boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari islam kerana menisbahkan kekufuran kepada para nabi yang bersifat ma’sum di samping menafikan nas yang sorih, jelas dari al-Quran dan hadis-hadis semata-mata kerana berpegang dengan pembahagian yang tidak dilakukan oleh ulama islam, apatah lagi jelas bercanggah dengan nas.

No comments:

Post a Comment

>

Komen Terkini

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog
 

Posts & Comments

get this

Trafik

 
Blogger Templates