Social Icons

Pages

Monday, May 18, 2009

keterangan sifat yang wajib dan mustahil bagi nabi.

Terangkan tentang sebahagian perkara yang berkaitan dengan kepercayaan kepada risalah yang dibawa oleh junjungan besar nabi kita Muhammad.

Wajib kita beriman dengan risalah yang dibawa oleh nabi Muhammad dan beriman bahawa nabi Muhammad itu adalah nabi yang terakhir diutuskan oleh Allah.



Firman Allah ta’ala:
وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ""

Maksudnya: “ Nabi Muhammad itu adalah akhir nabi yang diutuskan".
(Surah Al-Ahzab : Ayat 40)
Rasulullah bersabda :

وَخُتِمَ بِيَ النَّبِيُّيونَ""

Maknanya: “ Dan dengan akulah berakhirnya para nabi-nabi”.( Diriwayatkan oleh Imam Muslim. )

Diantara perkara-perkara yang wajib dipercayai ialah nabi Muhammad adalah penghulu sekelian anak Adam. Perkara ini telah disepakati oleh ulama, perkara ini berdasarkan dengan sabda Nabi :

وَلاَ فَخَر" " أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ ءَادَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maknanya: “ Aku adalah penghulu anak Adam di hari akhirat dan bukanlah untuk dibangga-banggakan".( Diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi )

Hadis ini bukanlah bermakna bahawa Nabi berbangga tetapi untuk menceritakan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah ta’ala kepada baginda.

Terangkan sifat-sifat yang wajib bagi para nabi.

Allah ta’ala mengutuskan para nabiNya supaya mereka menyampaikan kepada manusia perkara-perkara yang ada kemaslahatan dunia dan agama mereka. Nabi-nabi adalah ikutan manusia, oleh kerana itulah Allah ta’ala telah menghiaskan mereka dengan sifat-sifat dan akhlak yang yang baik dan terpuji. Diantara sifat-sifat tersebut ialah benar, amanah, cerdik, berani dan jauh dari melakukan perkara yang haram.

Firman Allah Ta’ala selepas menyebut bilangan para anbiya:

وَكُلاًّ فَضَّلْنَا عَلَى الْعَالَمِينَ""

maksudnya: “Dan semua mereka itu (nabi-nabi) kami lebihkan darjatnya di atas sekalian umat". (Surah Al-An'am : Ayat 86)
Para anbiya adalah mereka yang terpilih dari kalangan manusia, selawat dan salam keatas sekelian para Nabi. Rasulullah telah bersabda:

مَا بَعَثَ الله ُنَبِيًّا إِلاَّ حُسْنَ الْوَجْهِ حُسْنَ الصَّوْت، وَإِنَّ نَبِيَّكُمْ أَحْسَنَهُمْ وَجْهًا وَ أَحْسَنَهُمْ صَوْتًا"
.
Maknanya: " Allah tidak mengutus seorang nabi kecuali yang elok paras rupanya, baik suaranya,dan sesungguhnya nabi kamu adalah orang yang mempunyai sebaik-baik rupa dan sebaik-baik suara ". (Diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi)


Nyatakan sifat-sifat yang mustahil para nabi.

Nabi-nabi menjadi ikutan manusia, oleh itu Allah ta’ala menghiasi mereka dengan sifat-sifat yang terpuji, dan juga memelihara mereka daripada sifat-sifat yang keji. Mereka sama sekali tidak bersifat dengan sifat menipu, khianat, meghina, lambat faham dan bodoh. Meraka terpelihara daripada kekufuran, dosa-dosa besar serta dosa-dosa kecil yang dipandang hina, baik sebelum kenabian atau selepas dilantik menjadi nabi. Kemungkinan berlaku pada mereka dosa-dosa kecil tetapi bukan daripada perbuatan yang hina. Jika mereka melakukan dosa-dosa kecil maka mereka akan terus bertaubat sebelum diikuti oleh orang lain.

Allah ta’ala berfirman tentang peristiwa nabi Ibrahim:

قَالَ بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا فَسْئَلُوهُمْ إِن كَانُوا يَنطِقُونَ""

Maksudnya:"Ibrahim berkata : Bahkan patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyalah kepada berhala (patung yang besar) itu jika ianya dapat berbicara” .(Surah Al-Anbiyak : Ayat 63)


Apakah tafsiran tentang ayat ini?

Tidak boleh diragukan lagi bahawa para anbiya terpelihara daripada pembohongan. Apa yang dinyatakan dalam ayat ini tentang perbuatan nabi Ibrahim terhadap berhala-berhala tersebut secara zohirnya perbuatan beliau berbentuk satu pembohongan kerana beliau telah memberitahu pada kaumnya bahawa berhala yang besar itulah yang memecah berhala-berhala yang lain, tetapi pada hakikatnya perbuatan beliau adalah benar kerana berhala yang paling besar itulah yang menjadi dorongan kepada beliau untuk memecahkan berhala-berhala yang lain.

Beliau teramat marah terhadap kaumnya yang terlalu mengagongkan serta mencantikkan tuhan mereka, baginda memecahkan berhala yang kecil dan menghina mereka dengan membiarkan patung yang besar itu untuk dijadikan sebagai hujah bahawa patung tersebut tidak memberi manfa’at kepada patung-patung yang lain. Menyandarkan perbuatan itu kepada berhala yang paling besar dalam bahasa arab dianggap sebagai majaz (sindiran). Perbuatan nabi Ibrahim ini sama sekali tidak berbentuk penipuan kerana semua para anbiya terpelihara dari sifat berbohong.

Apakah makna kata nabi Ibrahim ketika melihat bulan pada ayat:

هَذَا رَبِّى""
(Surah Al-An'am : Ayat 78)

Kesemua para anbiya’ terpelihara daripada melakukan perkara yang kufur, samaada sebelum kenabian atau selepas dilantik menjadi nabi. Kata-kata nabi Ibrahim ketika melihat bulan bukanlah menunjukkan baginda kafir dengan mengatakan bulan itu adalah tuhannya tetapi perkataan itu adalah berbentuk soalan “Inkari”,
(soalan untuk mengingkari pendapat yang salah daripada orang lain), seolah-olah baginda mengatakan: “adakah ini tuhanku mengikut tanggapan kamu”?. Nabi Ibrahim sebelum itu lagi telah mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah.

Firman Allah Ta’ala:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلاَ نَصْرَانِيًّا وَلَكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Ibrahim bukanlah seorang yahudi dan bukan pula seorang nasrani tetapi dia adalah seorang yang tidak mempersekutukan Allah. Seorang yang berserah diri kepada Allah sekali-kali tidak termasuk golongan orang–orang musyrik"(Surah Al-Imran : Ayat 67).


Allah ta’ala telah berfirman :

وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلآ أَن رَّءَا بُرْهَانَ رَبِّهِ""

Apakah makna ayat وَهَمَّ بِهَا ?

Ayat ini tidak memberi makna bahawa nabi Yusuf mempunyai keinginan yang buruk terhadap Zulaikha kerana Allah ta’ala telah memberi ilham bahawa baginda akan menjadi nabi, dan nabi terpelihara dari perbuatan tersebut. Jadi tafsir وَهَمَّ بِهَا dari segi ilmu nahu menjadi jawapan kepada لَوْلآ yang mahzuf (dihilangkan) berdalilkan dengan jumlah yang datang selepasnya, maka tafsirannya ialah seperti berikut: jikalau Allah tidak mengilhamkan kepadanya tentang kenabian maka akan ada padanya keinginan untuk melakukan perkara tersebut. Ini bermaksud keinginan tersebut tidak akan berlaku sama sekali kerana Allah ta’ala telah memberi ilham tentang kenabiannya, maka baginda terpelihara daripada perkara tersebut.

Dalam tafsiran yang lain pula ayat tersebut memberi maksud: sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (untuk melakukan perbuatan terkutuk itu) dengan Yusuf, dan yusuf bermaksud (untuk menolak wanita itu agar terhindar daripadanya lalu Allah memberi ilham kepadanya bahawa jika dia menolak wanita itu maka wanita itu akan berkata kepada suaminya bahawa nabi Yusuf menolaknya kononnya kerana nabi Yusuf memaksanya untuk berzina, maka disebabkan ilham itu nabi Yusuf tidak menolaknya bahkan berpaling pergi daripadanya , lalu wanita itu mencarikkan baju nabi Yusuf dari belakang terus menjadi bukti bahawa wanita itu yang bersalah.
Adapun cerita yang mengatakan Nabi Yusuf ada keinginan melakukan perkara terkutuk itu merupakan pendapat yang salah dan tidak layak disifatkan ke atas nabi.

Firman Allah ta’ala:

قَالَتِ امْرَأَتُ الْعَزِيزِالْئنَ حَصْحَصَ اْلحَقُّ أَنَاْ رَاوَدتُّهُ عَن نَّفْسِهِ وَإِنَّهُ لَمِنَ الصَّا دِقِينَ""

Maksudnya: “Berkata isteri al aziz :sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar”.(Surah Yusuf Ayat 51)


Apakah yang dimaksudkan dengan kalimah نَعْجَةٌ pada ayat:

إِنَّ هَذا أَخِى لَهُ تِسْعٌ وَتِسْعُونَ نَعْجَةً وَلِى نَعْجَةٌ وَاحِدَةٌ فَقَالَ أَكْفِلْنِيهَا وَعَزَّنِى فِى اْلخِطَابِ""

Maksudnya: "Sesungguhnya saudaraku ini mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja, maka dia berkata :serahkanlah kambingmu itu kepadaku dan dia mengalahkan aku pada perbualan".(Surah Sod: Ayat 23)

Kalimah نَعْجَةٌ disini bermakna kambing betina, bukan wanita yang dimaksudkan, walaupun disana ada dikalangan orang arab menggelar wanita dengan نِعَاجٌ tapi ayat ini tidak boleh ditafsirkan dengan wanita sebagaimana tanggapan sebahagian pentafsir yang telah telah tersebar di kalangan mereka mengatakan bahawa nabi Daud mempunyai sembilan puluh sembilan orang perempuan dan di waktu yang sama seorang panglima perang mempunyai seorang isteri yang cantik lalu nabi Daud tertarik hati dan terpikat dengannya lalu baginda mengutuskan panglima itu ke medan perang supaya mati dalam pertempuran agar dia dapat mengahwini isteri panglima tersebut selepas kematiannya. Tafsiran sebegini adalah salah kerana ianya tidak layak bagi nabi-nabi.

Imam Ibnu Al-Jawzi dalam tafsirannya selepas menyebut kisah palsu ini mengatakan bahawa jalan riwayat cerita ini adalah tidak sah dan dari segi maknanya dan juga tidak harus kerana semua para nabi terpelihara daripada perkara tersebut, manakala yang menyebabkan nabi Daud meminta ampun dari Tuhannya adalah kerana beliau menghukumkan di antara dua orang (yang dimaksudkan dalam ayat tersebut) dengan mendengar dari sebelah pihak sahaja tanpa beliau mendengar dari pihak yang lain.

No comments:

Post a Comment

>

Komen Terkini

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog
 

Posts & Comments

get this

Follow by Email

Trafik

 
Blogger Templates