Social Icons

Pages

Monday, May 18, 2009

Soal jawab hukum hakam berkaitan dengan Murtad

Apakah yang dimaksudkan dengan murtad dan berapakah bahagiannya?

Murtad memberi erti terputusnya Islam (terkeluar dari Islam), ianya terbahagi kepada tiga bahagian sepertimana yang disebutkan oleh Imam Nawawi dan juga ulama-ulama Syafie, Hanafie dan selain daripada mereka iaitu:

i Murtad berbentuk iktikad
ii Murtad berbentuk perbuatan
iii Murtad berbentuk perkataan.


Sebutkan dalil daripada hadis yang menunjukkan bahawa tidak disyaratkan berlaku murtad itu agar mengetahui hukumnya ?

Sabda Rasulullah :

" إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لاَ يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِى بِهَا فِى النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا "

Maksudnya: "Sesungguhnya seorang hamba yang melafazkan kalimah yang dianggapnya tidak ada kemudaratan pada aqidah bahkan dengan kalimah itu dia terjerumus ke dalam api neraka yang jaraknya tujuh puluh tahun".( Diriwayatkan oleh : Imam At-Tirmizi dan dia mensohihkannya)

Iaitu jaraknya 70 tahun sampai ke dasar neraka tersebut dan merupakan penghujung neraka serta tempat yang dikhususkan bagi orang-orang kafir.Seterusnya kefahaman serta makna hadith diatas tadi ialah hadith dibawah ini yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim yang berbunyi:

" إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنَ َفِيهَا يَهْوِى بِهَا فِى النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ اْلمَشْرِقِ وَ اْلمَغْرِبِ "

Maksudnya: "Sesungguhnya seorang hamba itu berkata dengan satu kalimah yang dianggap baginya tiada apa-apa kemudaratan ( walaupun kalimah itu dianggap biasa tetapi maknanya kufur), sedangkan kerana kalimah itulah dia terjerumus ke dalam api neraka yang jaraknya lebih jauh dari timur ke barat".

Pada hadith ini Al-Hafiz Ibnul Hajar dalam kitabnya Fathul Bari mentafsirkan hadith ini dengan berkata:
"وَذَلِكَ مَا كَانَ فِيهِ إِسْتِخْفَافٌ بِاللهِ أَوْ بِشَرِيعَتِهِ"

Maknanya: "Dan perkara tersebut (yang boleh terjerumus ke dalam api neraka) seperti menghina Allah atau menghina syariatNya".


Kedua hadis ini menjadi jelas dalil yang kukuh bahawa tidak disyaratkan berlakunya murtad agar mengetahui hukumnya atau berlapang dada atau beriktikad maknanya. Di sini perlu dijelaskan bahawa apa yang terkandung dalam kitab فِقْهُ السُّنَّةِ (fiqhus sunnah) yang mengatakan bahawa berlakunya kekufuran itu mestilah diketahui hukumnya. Tanggapan ini adalah kufur kerana bertentangan dengan hadith di atas tadi

Sebutkan dalil Al-quran yang mengatakan bahawa menghina Allah ta’ala dan rasulNya adalah kufur ?

Firman Allah ta’ala:

"وَلَِئن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللهِ وَءَايَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ، لاَ تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتمُْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ"

Maksudnya: “ Dan jika kamu nyatakan kepada mereka( tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawap: sesungguhnya kami hanya bergurau senda dan bermain-main sahaja,Katakanlah: Apakah dengan Allah dan ayat-ayatNya dan rasulNya kamu selalu mempersenda?! tiada kemaafan bagimu kerana kamu kafir sesudah beriman".(Surah At-Taubah Ayat 65 dan 66)

Sebutkan salah seorang ulama yang menukilkan ijmak bahawa orang yang mencaci Allah ta’ala dikira kafir ?

Imam Qodhi E’yadh Al Yahsuby dalam karangan beliau yang berjudul Assyifa telah berkata:
لاَ خِلاَفَ أَنَّ سَابَّ اللهَ مِنَ اْلمُسْلِمِينَ كَافِرٌ
Maksudnya: "Tiada perselisihan antara ulama bahawa orang yang mencaci Allah adalah kafir".

Sebutkan salah seorang ulama yang menukilkan ijmak terhadap orang yang melafazkan lafaz kufur atau melakukan perbuatan kufur dikira kafir.

Imam Tajuddin As-Subky dalam muqaddimah kitabnya Attobaqot berkata:

" لاَ خِلاَفَ عِندَ اْلأَشْعَرِي وَ أَصْحَابِهِ بَلْ وَ سَائِرِ الْمُسْلِمِينَ أَنَّ مَنْ تَلَفَّظَ بِالْكُفْرِ أَوْ فِعْلِ أَفْعَا لِ الْكُفَّارِ أَنَّهُ كَا فِرٌ بِاللهِ الْعَظِيمِ مُخَلَّدٌ فِى النَّارِ وَإِنْ عَرَفَ قَلْبُهُ، وَأَنَّهُ لاَ تَنفَعُهُ الْمَعْرِفَةُ مَعَ الْعِنَادِ وَ لاَ تَغْنِي عَنْهُ شَيْئًا، لاَ يَخْتَلِفُ مُسْلِمَانِ فِى ذَلِكَ "

Maknanya: "Tidak ada khilaf di sisi Imam Al- Asy'ari dan sahabat-sahabat beliau serta semua umat Islam bahawa siapa yang melafazkan kalimah kufur atau melakukan perbuatan-perbuatan orang kafir dikira kafir dengan Allah Yang Maha Mulia Dia akan berkekalan di dalam api neraka walaupun hatinya mengetahui, dan tidak memberi manfa’at sekadar dia mengetahui hukum sedangkan dia menentang, pengetahuannya itu menjadi sia-sia sahaja dan tidak ada perbezaan antara dua orang muslim pada hal demikian".


Apakah hukum orang yang mengingkari perkara yang telah jelas atau diketahui ianya dari agama Islam ?

Barangsiapa mengingkari apa yang maklum ianya dari agama Islam (diketahui oleh para ulama dan juga orang awam dikalangan para muslimin) maka dia dikira kafir kecuali jika dia berkeadaan seperti orang yang baru memeluk agama Islam ataupun dia hidup berjauhan dari para ulama serta tidak mengetahui bahawa perkara tersebut merupakan sebahagian dari agama Islam, tetapi hendaklah apa yang diingkarinya itu bukanlah seperti penafian sifat yang wajib bagi Allah.


Ulama ada menyebut bahawa lafaz terbahagi kepada beberapa bahagian, terangkan pembahagian ini ?

Ulama-ulama telah membahagikan lafaz kepada dua bahagian iaitu lafaz zohir dan lafaz sorih.

i Lafaz zohir dari segi bahasa ialah lafaz yang mengandungi dua makna atau lebih tetapi salah satu daripadanya lebih hampir kepada makna yang kufur, barangsiapa yang bercakap dengan lafaz zohir ini maka tidak boleh terus dihukum kafir selagimana tidak diketahui apakah makna yang dimaksudkannya.

ii Manakala lafaz sorih pula adalah lafaz yang jelas maknanya dan tidak boleh ditakwilkan lagi, siapa yang melafazkan lafaz sorih ini maka dia telah terkeluar daripada Islam dan tidak perlu ditanya apakah yang dia maksudkan dari lafaz tersebut, kecualilah jika dia tidak mengetahui makna pada lafaz sorih tersebut,akan tetapi dia menganggap makna lafaz tersebut bukan sedemikian.


Apakah yang diwajibkan ke atas orang telah jatuh murtad ?

Diwajibkan ke atas orang murtad supaya segera kembali kepada agama Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah dan meninggalkan perkara murtad tersebut. Diwajibkan ke atas dia agar menyesal serta berazam agar tidak kembali kepada murtad.


Apakah yang perlu dilakukan oleh khalifah terhadap orang murtad yang tidak mahu kembali kepada Islam ?

Wajib keatas khalifah islam atau sesiapa yang diwakilkan olehnya agar menyuruh orang murtad tersebut bertaubat dengan mengucap dua kalimah syahadah dalam tempoh tiga hari dan diberi pilihan samaada dia kembali kepada agama Islam ataupun dibunuh jikalau dia enggan kembali kepada Islam.



Ini berdasarkan hadis Nabi yang berbunyi:
مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ""
Maksudnya: Siapa yang menukar agamanya(Islam) maka bunuhlah dia.
(Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari.)


Sebutkan sebahagian hukum yang berkaitan dengan murtad ?

Antara hukum yang berkaitan dengan murtad adalah puasa, tayammun dan nikah kahwin. Semua perkara-perkara tersebut terbatal walaupun dia telah kembali kepada Islam. Berkaitan dengan pernikahan pula, apabila seorang muslim itu telah murtad selepas dia melakukan akad nikah tetapi belum menggauli isterinya, maka pernikahannya tersebut dikira batal. Akan tetapi jikalau dia telah murtad selepas menggauli isterinya dan kembali semula kepada Islam sebelum tempoh ‘iddah isterinya maka dikira rujuk tanpa perlu akad nikah yang baru. Orang murtad tidak boleh mengahwini orang Islam, orang yahudi, orang kristian atau selain mereka. Diharamkan memakan penyembelihan mereka dan tidak boleh mewarisi harta dan tidak boleh diwarisi hartanya, tidak boleh sembahyang jenazah keatasnya dan tidak wajib memandikan dan mengkafankannya dan tidak boleh dikuburkannya di kawasan perkuburan orang-orang muslim. Harta peninggalannya digunakan untuk kebajikan umat Islam.

Terangkan tentang perlaksanaan amalan-amalan yang fardhu (wajib), dan ke atas siapa diwajibkan?

Setiap orang mukallaf wajib melakukan apa yang disuruh oleh Allah ta’ala seperti solat, puasa, zakat, haji dan selainnya. Mereka juga wajib melakukan perkara yang difardhukan beserta rukun-rukun dan syarat-syaratnya dan menjauhi perkara-perkara yang membatalkannya dan tidak memadai dia mengerjakan kewajipan-kewajipan tersebut dengan sekadar rupa dan bentuk perbuatan itu sahaja.

Sabda Nabi berbunyi:

"رُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلاَّ السَّهْرُ وَرُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ اْلجُوْعَ وَالْعَطْشَ"

Maksudnya:"Ramai orang yang berqiamullail tetapi tidak mendapat apa-apa kecuali berjaga malam dan ramai orang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa kecuali memperolehi lapar dan dahaga".(Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Hibban)

Apakah yang diwajibkan ke atas mereka yang melihat orang lain meningalkan perkara yang wajib ?

Sesiapa yang melihat orang lain meninggalkan perkara yang wajib atau melihat orang lain melakukannya dengan cara yang salah, maka hendaklah menyuruh mereka melakukannya dengan cara yang betul. Dan wajib keatasnya menegah kemungkaran tersebut jika ia mampu, dan jika dia tidak mampu mencegah kemungkaran tersebut dan dia tidak mampu menyuruh perkara yang betul, maka wajib baginya mengingkari dengan hatinya, dan jika dia tidak mampu mencegah kemungkaran dan menyuruh kebaikan tersebut, dan yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman. ( bagi mereka yang tak mampu menegah kemungkaran hendaklah sekurang-kurangnya membencinya dalam hati )

Terangkan tentang menjauhi perkara-perkara yang haram.

Setiap mukallaf wajib meninggalkan semua perkara yang haram dan mencegah orang lain dari melakukannya. Jika dia mampu mencegah dengan cara yang tegas maka wajib dia melakukannya, jika dia tidak mampu untuk mencegahnya maka menjadi kewajipan keatasnya mengingkari dengan hati. Mencegah perkara-perkara yang haram disyaratkan agar tidak membawa kepada kemungkaran yang lebih besar dari kemungkaran tersebut. Jikalau hal ini mungkin berlaku, maka tidak diharuskan mencegahnya kerana ia akan berpindah dari satu kemungkaran kepada kemungkaran yang lebih besar.

Rasulullah bersabda:

"مَنْ رَأَى مِنكُمْ مُنكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِن لَّمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيمَانِ"

Maksudnya: "Barangsiapa dikalangan kamu yang melihat (mengetahui) kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan lidahnya, jika tidak mampu maka dengan hatinya dan itu lah selemah-lemah iman". (Diriwayatkan oleh Imam Al-Muslim)

Apakah yang dimaksudkan dengan haram dan wajib ?

Haram adalah perkara yang siapa melakukannya akan mendapat dosa dan jika ditinggalkan mendapat pahala. Allah ta’ala telah menyuruh hamba-hambaNya agar menjauhi perkara yang haram dan melakukan perkara yang wajib.
Wajib pula adalah perkara yang siapa melakukannya mendapat pahala dan jika ditinggalkan mendapat dosa.


Berikan sebahagian contoh iktikad-iktikad yang berbentuk kufur.

Barangsiapa yang menganut agama selain dari Islam, tidak mempercayai ayat-ayat Al-quran, tidak beriman dengan nabi-nabi yang wajib diketahui, beriktikad bahawa perkara yang haram itu adalah halal yang mana perkara tersebut telah diketahui secara umum bahawa ianya haram dan juga beriktikad bahawa yang halal itu adalah haram, menyamakan Allah ta’ala dengan makhlukNya seperti berikitikad bahawa Allah bertempat atau mempunyai had yang tertentu, dan semua iktikad-iktikad yang berbentuk kufur, Maka sesiapa yang beriktikad dengan perkara-perkara tersebut maka terkeluar dari Islam.

Berikan contoh perbuatan-perbuatan yang kufur.

Melempar Al-quran ditempat-tempat yang kotor, sujud kepada berhala atau matahari, atau melakukan perbuatan yang telah disepakati oleh umat Islam bahawa ianya tidak dilakukan kecuali dari orang kafir. Barangsiapa yang melakukannya maka dia terkeluar dari agama Islam .


Berikan contoh percakapan-percakapan yang kufur.

Menghina Allah ta’ala, rasul-rasulNya, agama Islam, kaabah, syurga, ancaman-ancaman Allah yang telah ditetapkan olehNya, atau menghina solat, haji dan semua syiar Islam. Semua ini barangsiapa yang menghinanya maka dia terkeluar dari Islam.

Kaedah : Setiap pegangan, perbuatan atau percakapan yang menunjukkan penghinaan terhadap Allah ta’ala, para malaikatNya, Nabi-nabiNya, janji-janji baik, ancaman-ancamanNya atau syiar Islam maka dikira kufur. Maka ingatkanlah kepada masyarakat tentang perkara ini dengan bersungguh-sungguh dalam semua keadaan

Sebutkan kata seorang ulama muktabar yang menerangkan tentang pembahagaian murtad itu kepada tiga bahagian, iaitu iktikad ( hati ), perbuatan dan percakapan ?

Perkara ini telah disebut oleh Imam An-Nawawi dalam kitabnya Al-Minhaj dan kitabnya yang lain seperti kitab Raudhatol Tolibin :

"الرِّدَّةُ هِيَ قَطْعُ اْلإِسْلاَمِ بِنِيَّةٍ أَوْ قَوْلِ كُفْرٍ أَوْ فِعْلٍ سَوَاءٌ قَالَهُ اِسْتِهْزَاءً أَوْ عِنَادًا أَوْ اعْتِقَادًا"

Maknannya: "Murtad itu ialah terputusnya Islam disebabkan niat atau percakapan atau perbuatan samaada bertujuan menghina atau menentang atau beriktikad".

1 comment:

  1. Assalamualaikum , saya remaja . Saya selalu mempunyai tekanan perasaan dan selalu mengasingkan diri dari orang lain , saya tidak dpt mengawal perasaan saya kadang2 tercakap tentang agama lalu terlintas dlm suara hati saya tentang menghina agama , Allah SWT dan cuba mengawalnya tetapi telah menjadi makin sukar untuk mengawalnya dan makin sukar.Ianya TERsengaja adakah ia dikira murtad ?

    ReplyDelete

>

Komen Terkini

Recent Comments Widget by Jom Bina Belog
 

Posts & Comments

get this

Trafik

 
Blogger Templates